‘Takut bercinta saja, teman lelaki gangguan terbesar buat saya’

23 hours ago 7

PETALING JAYA – Selepas beberapa bulan bercerai, pelakon Aprena Manrose masih belum terbuka hati untuk menjalin hubungan cinta dengan mana-mana lelaki buat masa sekarang.

Bagaimanapun, Aprena atau nama lengkapnya Wan Syahera Putri Aprena Wan Syahman, 33, menghargai usaha individu yang ingin mendekati atau berkawan dengannya.

“Rasa macam memanggil-manggil untuk jawab soalan ini dulu. Pertama sekali, saya hargai saja yang nak berkawan dengan saya.

“Tapi untuk masa sekarang nak fikir diri sendiri dulu. Dah 14 tahun dalam hubungan, jadi mengapa tidak menjadi versi terbaik diri sendiri pula.

“Banyak kena perbaiki diri juga sebelum ada dalam perhubungan baharu,” katanya dalam hantaran InstaStory.

Kenyataan tersebut dimuat naik susulan seorang individu mengajukan pertanyaan berkaitan bila dia akan mempunyai teman lelaki.

Malah, pelakon drama Tiada Arah Jodoh Kita itu menekankan bahawa hubungan cinta berpotensi menjadi gangguan terbesar sekiranya dia tidak mampu mengimbangi antara kehidupan peribadi dan kerjaya.

“Teman lelaki adalah gangguan paling besar bagi saya. Tak pandai nak seimbangkan, takut bercinta saja nanti.

“Jadi sebelum itu kita cari rezeki dengan buat bisnes sendiri. Tak dinafikan, bukan mudah untuk hidup sendiri.

“Tetapi selagi mencari rezeki yang halal, kita lalui saja. Saya harap kalian boleh sokonglah tau,” ujarnya lagi.

Pada Jun tahun lalu, Aprena mengesahkan sudah bercerai dengan bekas suami, Mohd. Afiq Hazman.

Terdahulu, keretakan rumah tangga Aprena kerap menjadi bahan bualan ramai terutama selepas mereka dilihat tidak meraikan Hari Raya Aidilfitri lalu bersama.

Mereka juga dikatakan tidak lagi mengikuti akaun Instagram masing-masing. Aprena dan Afiq mendirikan rumah tangga pada 12 November 2016. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |