JAKARTA – Sepasang suami isteri di Bekasi, wilayah Jawa Barat ditangkap selepas cuba mencuri motosikal milik seorang penduduk sambil membawa anak mereka yang berusia empat tahun, lapor laman berita Berita Cikarang semalam.
Suami isteri dikenali sebagai N, 35 dan U, 20, melakukan cubaan mencuri itu di sebuah surau pada pukul 5 pagi (waktu tempatan) Isnin lalu.
Menurut saksi, ketika kejadian, si suami menolak motosikal milik pengurus surau yang diparkir di luar surau sambil diperhatikan oleh si isteri bersama anak mereka.
Pasangan itu kemudian cuba melarikan diri, dengan si isteri menunggang motosikal lain bersama anak mereka.
Bagaimanapun, si suami gagal mengawal motosikal yang dicurinya ketika dikejar beberapa penduduk, menyebabkan dia terjatuh.
“Ketika saya keluar dari surau, pencuri itu sudah terjatuh bersama motosikal curi. Dia mahu melarikan diri bersama anak dan isterinya, namun terjatuh sekali lagi,” kata seorang saksi, Adam.
Polis kemudian menahan pasangan itu di samping bahan bukti iaitu motosikal yang dilarikan.
“Modus operandi mereka adalah sambil membawa anak, mereka mengelilingi kampung dan mencari motosikal yang diparkir,” kata Ketua Polis Babelan, Komisioner Wito.
Hasil siasatan polis juga mendapati, ia bukan kali pertama pasangan itu bertindak demikian dan mereka pernah melakukannya beberapa kali di daerah lain.
“Alasan pasangan ini adalah mereka mempunyai empat anak yang berusia setahun, tiga tahun, empat tahun dan sembilan tahun,” tambah Wito.
Katanya, si suami masih ditahan, manakala isterinya dibebaskan dengan jaminan ketua masyarakat setempat kerana anak mereka yang berusia setahun dikatakan mengalami masalah kesihatan.
“Polis masih menyiasat dakwaan suspek bahawa tindakan mencuri dilakukan untuk membiayai perubatan anak mereka,” katanya. – AGENSI