‘Tak semestinya berseri sebab bercinta’

1 hour ago 2

BUKIT JALIL – Didakwa semakin langsing dan berseri disebabkan sedang hangat bercinta, pelakon Chacha Maembong menyangkal semua itu, sekali gus menegaskan perubahan fizikalnya hasil sokongan rakan sekeliling yang membawa pengaruh positif dalam hidupnya.

Bukan kerana lelaki, Chacha atau nama sebenarnya Siti Aishah Ismail, 30, berkata aura positif dalam hidupnya kini banyak dipengaruhi persekitaran sihat dan tanpa sedar berat badan mula susut perlahan-lahan.

“Saya pun terkejut bila orang kata perubahan ini sebab lelaki. Sebenarnya bukan, tapi disebabkan kawan saya, Tracie Sinidol. Dia banyak ajak saya buat aktiviti sihat.

“Bila selalu keluar dengan dia, tanpa sedar berat badan turun, dagu berlapis pun hilang. Jadi kalau nak kata faktor utama, memang kawan, bukan cinta,” katanya kepada Kosmo! Online.

Tambahnya, kebahagiaan seseorang tidak semestinya datang daripada pasangan, sebaliknya boleh hadir daripada pelbagai sudut termasuk keluarga dan lingkungan sosial.

“Tak semestinya kita nampak berseri itu sebab bercinta. Bahagia boleh datang daripada keluarga, kawan dan suasana sekeliling.

“Kalau persekitaran kita positif, secara automatik kita pun jadi lebih gembira dan nampak berseri. Itu yang saya rasa sekarang,” ujarnya ketika sesi temu bual barisan pelakon Dendam Seorang Mentua, di sini, semalam.

Mengulas perubahan gaya hidup, adik kepada pelakon Emma Maembong itu mengakui mula memberi perhatian terhadap kesihatan selepas jadual kerja padat memberi kesan kepada tubuh.

“Saya tak kata diet sepenuhnya, tapi saya mula kurangkan makan dan cuba amalkan gaya hidup lebih sihat.

“Sebelum ini memang sibuk sangat, tidur lewat, minum kopi setiap hari. Jadi bila ada masa, saya cuba bersenam dan makan lebih sihat walaupun di lokasi penggambaran,” jelasnya.

Paling penting ungkapnya, usaha kecil seperti membawa bekalan makanan sendiri ke set sedikit sebanyak membantu mengekalkan kesihatan.

“Kalau tak sempat bersenam pun, sekurang-kurangnya saya jaga pemakanan. Saya bawa makanan dari rumah supaya lebih sihat.

“Sedar tak sedar, berat badan pun turun. Yang penting, saya rasa lebih sihat sekarang,” luahnya.

Sebelum ini, timbul spekulasi mendakwa Chacha sedang mengenali hati budi pelakon Andy Teh susulan perubahan penampilan yang semakin menawan.

Malah, Andy sendiri pernah mengakui Chacha memiliki ciri wanita idamannya selain menyifatkan aktres tersebut sebagai seorang rakan yang baik. – KOSMO! ONLINE.

Read Entire Article
Pertanian | | | |