‘Tak lena tidur dekat Thailand, risau minyak kereta kena curi’

7 hours ago 5

PETALING JAYA – Seorang rakyat Malaysia yang kini berada di selatan Thailand tampil memberi peringatan kepada orang ramai supaya lebih berhati-hati, khususnya yang merancang untuk memandu masuk ke negara itu dalam masa terdekat.

Menerusi satu perkongsian di media sosial, individu tersebut mendakwa keadaan di beberapa kawasan di selatan Thailand kini agak membimbangkan susulan kekurangan bekalan minyak yang semakin meruncing.

Menurutnya, situasi itu menyebabkan penduduk tempatan dikatakan terdesak sehingga ada yang cuba meminta pemilik kenderaan asing untuk memindahkan minyak atau membeli minyak secara terus daripada tangki kenderaan.

“Semalam pun kami tidur tak lena, sebab semalam masa tengah beli makanan, ada orang datang nak beli minyak daripada kami.

“Memang tak lena tidur sebab takut minyak (kereta) kena curi,” katanya.

Tambahnya, keadaan keselamatan juga dilihat semakin tidak menentu, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pelancong luar termasuk rakyat Malaysia.

Dalam pada itu, dia turut menasihatkan orang ramai agar menangguhkan perjalanan ke Thailand buat sementara waktu sehingga keadaan kembali stabil.

“Buat masa ini elok tangguh dulu. Bandar-bandar pun nampak lengang, macam ‘zombie town’. Banyak kenderaan tak bergerak sebab tak ada minyak,” ujarnya.

Difahamkan, kekurangan bekalan bahan api turut memberi kesan kepada harga barangan keperluan harian, termasuk makanan yang dilaporkan meningkat.

Situasi itu berpunca apabila nelayan tempatan tidak dapat turun ke laut berikutan kos diesel yang tinggi, sekali gus menjejaskan bekalan hasil laut.

Orang ramai dinasihatkan sentiasa peka dengan perkembangan semasa dan mengambil langkah berjaga-jaga sebelum merancang perjalanan ke luar negara, khususnya melibatkan kawasan yang berdepan isu bekalan dan keselamatan.- KOSMO! ONLINE.

Read Entire Article
Pertanian | | | |