PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini berpendapat kes saman 137 Orang Asli etnik Bateq Mayah terhadap Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) berhubung
deklarasi bahawa mereka bukan beragama Islam perlu melalui perbicaraan penuh.
Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Seri Mohd. Firuz Jaffri memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan MUIP dan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa pengislaman 137 responden itu void ab-initio (tidak sah sejak permulaan lagi).
Sebelum ini keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kuantan ketika itu, Datuk Seri Mohd. Radzi Harun itu diputuskan secara terus.
Dalam penghakimannya, ketika memutuskan demikian Mohd. Firuz berkata hakim mahkamah tinggi bercanggah dengan menyatakan pemelukan Islam adalah void ab-initio sedangkan ia mesti diputuskan pada perbicaraan penuh.
“Isu bidang kuasa sama ada perlu didengar di mahkamah syariah atau sivil perlu diputuskan dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi, sebelum isu pemelukan Islam semua atau sebahagian daripada responden diputuskan.
“Isu mengenai bidang kuasa akan diputuskan dalam perbicaraan penuh di Mahkamah Tinggi,” katanya.
Dua lagi hakim yang turut ialah bersidang Datuk Dr. Alwi Abdul Wahab dan Datuk Nadzarin Wok Nordin.
Semasa prosiding perayu diwakii peguam Norazli Nordin, yang mewakili MUIP manakala 137 Orang Asli etnik Bateq Mayah yang bertindak sebagai responden diwakili peguam Surendra Ananth.
Dalam rayuan hari ini, MUIP merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan pada 21 Mac 2025 yang menolak permohonannya yang memohon deklarasi bahawa Mahkamah Tinggi tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes saman dikemukakan kesemua responden.
Sebaliknya tuntutan berkenaan perlu dipohon di Mahkamah Tinggi Syariah atau Mahkamah Rendah Syariah Pahang.
Pada 28 September 2022, 137 Orang Asli etnik Bateq Mayah selaku plaintif mendakwa pengislaman beramai-ramai yang dilakukan pada April 1993 lalu di Kampung Benchah Kelubi, Kuala Lipis tanpa persetujuan mereka.
Plaintif terdiri daripada 87 orang dewasa dan 50 remaja serta kanak-kanak yang berusia di dua hingga 18 tahun, pada waktu permohonan tersebut difailkan.
Seramai 58 daripada 87 plaintif dewasa telah meninggal dunia. Kebanyakan plaintif merupakan anak dan cucu kepada 56 Orang Asli yang lain.
Mereka menamakan pegawai Pejabat Kemajuan Orang Asli Daerah Lipis, Bakar Unus, Ketua Pengarah Orang Asli, Jabatan Kemajuan Orang Asli, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang, Kerajaan Pahang dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama hingga kelima.
Berdasarkan pernyataan tuntutan, sekitar 1993, dua pemimpin etnik tersebut didakwa diminta untuk menghadiri kursus di Kuantan dan semasa mengikuti kursus mereka diminta untuk menganut agama Islam dan mengajak penduduk lain untuk berbuat perkara sama.
Permintaan tersebut disampaikan kepada penduduk kampung namun ditolak oleh mereka yang masih mengamalkan kepercayaan budaya dan agama animisme.
Bagaimanapun, pada April 1993, defendan pertama telah membuat beberapa lawatan ke kampung berkenaan dan didakwa telah mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan kepada penduduk kampung yang mana mereka tidak lagi akan dibenarkan tinggal di kampung berkenaan dan segala harta-benda serta tanaman akan dimusnahkan sekiranya enggan memeluk agama Islam.
Hanya sekitar tahun 2000 iaitu selepas lebih ramai penduduk kampung mempelajari asas bahasa Melayu sekurang-kurangnya pada aras rendah, barulah kesemua plaintiff mengetahui maksud dan implikasi perkataan `Islam’ yang ada pada kad pengenalan masing-masing dan nama mereka juga telah ditukarkan.
Sehubungan itu, kesemua plaintif memohon satu deklarasi bahawa kesemua 137 Orang Asli tersebut dan kesemua anak-anak mereka yang dilahirkan selepas tindakan undang-undang ini bukan beragama Islam. – KOSMO! ONLINE

4 hours ago
4
















![[VIDEO] Nik Zawawi beri penjelasan isu ceramah kontroversi](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/WhatsApp-Image-2026-05-12-at-11.14.48-PM.jpeg)






























