PETALING JAYA – Rektor Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ), Profeesor Dr. Rozaimi Ramle menegaskan Saidina Abu Bakar al-Siddiq menjadi kaya hasil perniagaan dan bukannya kerana menjadi ‘ceti’ seperti didakwa dalam satu ceramah yang tular di media sosial.
Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada ucapan Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Nik Muhammad Zawawi Salleh yang sebelum ini mencetuskan kontroversi selepas menyentuh kisah kehidupan Saidina Umar al-Khattab dan Saidina Abu Bakar al-Siddiq sebelum memeluk Islam.
Menurut Rozaimi dala sat video yang dimuat naik di laman Facebook, dakwaan kononnya Saidina Abu Bakar menjadi kaya kerana memeras harta orang lain adalah tidak benar dan bercanggah dengan fakta sejarah Islam.
“Abu Bakar sebelum daripada Islam telah pun menjadi kaya kerana dia melakukan perniagaan-perniagaan yang tidak menjadi sesuatu yang aib pada masyarakat Quraisy ketika itu.
“Jadi salah bagi mereka yang mengatakan Abu Bakar ini menjadi kaya disebabkan dia melakukan pekerjaan ‘Chetty’ ataupun memeras harta orang untuk menjadi kaya,” katanya.
Beliau berkata, masyarakat tidak seharusnya tersalah faham dengan peranan Saidina Abu Bakar yang ketika zaman jahiliah diberikan tanggungjawab menguruskan urusan diat dan hutang piutang dalam kalangan Quraisy.
Katanya, tugas tersebut lebih kepada menjadi penjamin dan individu yang dipercayai masyarakat Quraisy untuk membantu mereka yang memerlukan bantuan kewangan.
“Ini menunjukkan bahawasanya Abu Bakar bukan ‘ceti’, sebaliknya beliau merupakan orang yang mempunyai reputasi yang suka membantu dan menjadi penjamin,” katanya.
Dalam pada itu, Rozaimi turut menasihatkan semua pihak supaya lebih berhati-hati ketika berbicara mengenai para sahabat Nabi Muhammad SAW kerana golongan tersebut mempunyai kedudukan mulia di sisi Islam.
“Menghina sahabat ataupun bercakap sesuatu yang tidak benar tentang sahabat merupakan salah satu dosa besar. Perlu kita berhati-hati,” katanya. – KOSMO! ONLINE

8 hours ago
4









![[VIDEO] Nik Zawawi beri penjelasan isu ceramah kontroversi](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/WhatsApp-Image-2026-05-12-at-11.14.48-PM.jpeg)





































