Kami masih berhubung cuma V.I.P tak ajak – Fadlan Hazim

7 hours ago 4

SUBANG JAYA – Ketiadaannya sebagai salah seorang anggota Versatility In Performance (V.I.P) pada konsert Tukang Gempak ‘Adam’ menimbulkan tanda tanya, pelakon Fadlan Hazim yang mendakwa tidak menerima sebarang jemputan daripada pihak berkaitan.

Ujar Fadlan atau nama sebenarnya Fadlan Hazim Anuwar, 34, hubungannya dengan kumpulan (V.I.P) masih baik, namun penglibatan dalam konsert tersebut tiada kena-mengena dengannya.

“V.I.P tak ajak. Kami masih berhubung, masih ada ‘contact’, cuma saya tidak pasti kenapa tidak dijemput.

“Saya tidak terasa apa-apa sebab bagi saya perjalanan dengan kumpulan VIP memang sudah berakhir sejak 2012 lagi,” katanya kepada Kosmo! Online.

Bagaimanapun, bintang drama Nikmat Hanya Sesaat itu mengakui tetap teruja melihat kemunculan semula rakan seperjuangan di pentas, apatah lagi membabitkan figura lama yang pernah membentuk perjalanan seni mereka.

Mengulas lanjut, perpisahan kumpulan tersebut merupakan lumrah dalam dunia hiburan, khususnya melibatkan kumpulan lelaki dengan haluan berbeza.

“Bila tengok mereka buat persembahan semula, saya rasa seronok. Nampak Adam kembali, terasa macam ‘sifu’ dan ‘brother’ saya kembali ke pentas.

“Saya jadi terimbau kenangan lama. Dulu kami banyak buat ‘road tour’, persembahan sana sini. Banyak kenangan lucu, susah senang bersama.

“Kami berlima dulu. Biasalah dalam ‘boy band’, masing-masing ada hala tuju sendiri. Ada mahu ke depan, ada pilihan lain. Semua itu cerita lama,” ujarnya pada malam gala filem Nar’sata: Sekutu Setan, di sini, malam tadi.

Ditanya kemungkinan kembali bersama sekiranya ditawarkan, Fadlan tidak menolak, malah mengakui rasa rindu terhadap momen tersebut masih tersimpan.

“Kalau mereka hubungi, saya okay sahaja. Rindu itu memang ada.

“Tapi orang kata, kalau rindu jangan kembali. Jadi saya pun tidak pasti. Apa pun, kenangan itu tetap ada,” luahnya.

Terdahulu, konsert Tukang Gempak ‘Adam’ bertemakan The Last Dance berlangsung pada 9 Mei lalu dengan kehadiran kira-kira 3,000 penonton.

Konsert tersebut turut dimeriahkan dengan penampilan khas kumpulan VIP membawakan lagu popular seperti Mimpi Sedih dan Mafia, selain kehadiran figura berpengaruh industri termasuk Edry Abdul Halim yang turut menjadi antara tulang belakang perjalanan seni penyanyi berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |