PETALING JAYA – Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan menamatkan siaran saluran televisyennya di platform satelit Astro Malaysia Holdings Berhad bermula 1 Julai ini selepas hampir tiga dekad menjalinkan kerjasama penyiaran.
Menerusi satu pekeliling bertarikh 11 Mei, RTM memaklumkan keputusan itu dibuat selepas kedua-dua pihak berdepan kesukaran untuk mencapai persetujuan berkaitan kadar harga dan kontrak yang memenuhi kemampuan kewangan masing-masing.
Menurut RTM, rundingan berkaitan kos serta kadar sewaan bagi perkhidmatan penyiaran itu telah dijalankan sejak sekian lama, namun belum menemui kata putus.
“Selepas bertahun-tahun menjalinkan kerjasama dan rundingan berterusan berkaitan kos serta kadar sewaan bagi perkhidmatan ini, adalah sukar ketika ini untuk mencapai persetujuan harga dan kontrak yang memenuhi keperluan serta kemampuan kewangan kedua-dua pihak.
“Sehubungan itu, RTM memutuskan untuk menamatkan perkhidmatan penyiaran saluran RTM iaitu TV1-HD, TV2-HD dan Okey di platform satelit Astro serta platform over-the-top (OTT) yang dikendalikan,” katanya.
Menurut kenyataan itu, penamatan perkhidmatan berkenaan akan berkuat kuasa sepenuhnya pada 1 Julai 2026.
RTM dan Astro mula bekerjasama dalam penyiaran saluran TV1 dan TV2 sejak tahun 1996, manakala saluran Okey yang sebelum ini dikenali sebagai Muzik Aktif dan TVi disiarkan di platform itu sejak 2009.
Dalam pada itu, RTM berkata, kerjasama antara kedua-dua pihak turut melibatkan beberapa penerbitan usaha sama yang memberi impak positif kepada penonton.
Bagaimanapun katanya, peningkatan kos sewaan saluran menyebabkan beban kewangan RTM semakin tinggi dan sukar dikawal.
“Apabila kos sewaan saluran terus meningkat dan beban kewangan RTM untuk menyewa saluran ini menjadi semakin berat, adalah lebih wajar untuk kami menamatkan perkhidmatan ini agar tidak terus dibebani kos yang sukar dikawal,” katanya. – KOSMO! ONLINE

6 hours ago
6
















![[VIDEO] Nik Zawawi beri penjelasan isu ceramah kontroversi](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/WhatsApp-Image-2026-05-12-at-11.14.48-PM.jpeg)






























