BANDAR GAZA – Tentera Israel melancarkan serangan udara di Gaza pada sambutan Aidilfitri semalam, dengan serangan menyasarkan khemah yang melindungi penduduk Palestin yang terlantar di bandar Khan Younis, lapor agensi berita Anadolu.
Serangan itu menyebabkan beberapa orang terkorban termasuk kanak-kanak, demikian menurut sumber tempatan.
Mereka yang cedera dan maut telah dibawa ke Hospital Nasser di bandar itu, di mana pasukan perubatan bergelut untuk merawat penduduk cedera di tengah-tengah keadaan kemanusiaan yang semakin teruk.
Berikutan serangan maut itu, solat jenazah diadakan untuk mereka yang terbunuh.
Sementara itu, ratusan ribu rakyat Palestin menunaikan solat sunat Aidilfitri di atas runtuhan masjid yang musnah, tempat perlindungan yang sesak dan di samping runtuhan rumah mereka.
Di sebalik kemusnahan, penduduk yang kehilangan tempat tinggal berkumpul di tengah-tengah tembakan meriam tentera Israel untuk menunaikan solat, melaungkan takbir dan bertukar salam pada hari raya.
Namun, tradisi perayaan yang biasa pada hari raya seperti berkongsi gula-gula, memberi hadiah kepada kanak-kanak dan meraikan Syawal di dataran awam tidak dapat dilakukan.
Di Bandar Gaza, beribu-ribu orang berdoa di dalam Masjid Besar Omari yang sebahagiannya musnah di Kota Lama.
Di Khan Younis, penduduk Palestin yang terlantar menunaikan solat sunat Aidilfitri di dalam rumah perlindungan sementara di sebuah sekolah yang menempatkan keluarga dari kawasan timur bandar tersebut.
Saksi melaporkan bahawa solat dan takbir terganggu oleh tembakan tanpa henti dari kedudukan tentera Israel yang ditempatkan di timur bandar itu.
Di tengah Gaza, beribu-ribu orang berkumpul berhampiran runtuhan Masjid Al-Qassam di kem pelarian Nuseirat, serta di masjid-masjid yang sebahagiannya musnah di seluruh wilayah tersebut. – AGENSI