Siti Jamumall sah bercerai talak tiga dengan Aiman Tak Kesah

4 weeks ago 25

SHAH ALAM – Status lafaz cerai pempengaruh media sosial, Aiman Tak Kesah atau nama sebenarnya, Khairul Aiman Abdul Kudus, 22 terhadap isterinya, Siti Jamumall terlerai apabila disahkan sebagai talak tiga oleh Mahkamah Rendah Syariah hari ini.

Hakim Syarie, Fairus Jaafar membuat keputusan itu selepas mendapati lafaz talak terakhir oleh Khairul Aiman kepada Siti Jamumall atau nama sebenarnya Siti Suriani Wahiddin, 26, ketika siaran langsung aplikasi TikTok, pada 15 Mei lalu adalah sah dan jatuh sebagai talak bain kubra.

Katanya, Khairul Aiman selaku plaintif telah bercerai dengan Siti Suriani dengan talak satu kali pertama pada 17 Mac.

Plaintif sekali lagi membuat dua lafaz iaitu ketika siaran langsung di aplikasi sosial terbabit, pada pukul 1.31 pagi, 15 Mei lalu.

Ini disusuli dengan lafaz ketiga kepada Siti Suriani selaku defendan, 15 hingga 18 saat kemudian, dengan menyentuh perkataan “aku orang kampung sanggup dipijak tapi sekarang, aku tak boleh diam”.

“Mahkamah menafsirkan lafaz talak pertama dan kedua yang dibuat Aiman hanya sebagai satu talak rajie, namun lafaz ketiga tetap sah kerana diucapkan selepas berlaku selang perbualan lain.

“Ini mengambil kira lafaz ketiga dibuat berselang 15 hingga 18 minit dari lafaz kedua dan ada perbualan lain, maka lafaz berkenaan didapati sah dan menjatuhkan talak satu kali ketiga,” katanya hari ini.

Justeru kata Fairus, mahkamah meluluskan tuntutan pengesahan cerai plaintif mengikut Seksyen 57 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Selangor) 2003.

“Defendan diarahkan menjalani tempoh edah selama sehingga bersalin dan surat nikah kedua-dua pasangan ini di Perlis dibatalkan,” katanya.

Pada prosiding berkenaan, peguam syarie, Mohd Nooraizan Md. Idros yang mewakili plaintif memaklumkan Aiman akur dengan keputusan terbabit.

Bagaimanapun, anak guamnya itu masih memikirkan anak sulungnya yang baru dilahirkan baru-baru ini.

“Dia berharap dapat berbaik semula dengan bekas isterinya itu dan saya masih dalam perbincangan sama ada mahu memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi Syariah dalam masa 14 hari.

“Ya, buat masa ini, pasangan ini tidak boleh rujuk semula,” katanya.

Sebelum ini, berlaku ketegangan antara Aiman dan Siti pada 15 Mei. Tindakan Aiman melafazkan talak kepada Siti Jamumall disaksikan lebih 25,000 penonton yang sedang menonton siaran langsung dalam media sosial Siti Jamumall. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |