Suami Nadia Kesuma reda, tenang

2 hours ago 1

GEORGE TOWN – Suami kepada pelakon Nadia Kesuma, Prof. Dr. Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah, 57, reda dan tenang menerima perkembangan terkini isteri tercintanya yang setelah disahkan meninggal dunia di Jeddah, Khamis lalu.

Muhammad Kamarul berkata, dia telah dihubungi oleh pihak Wisma Putra malam tadi bagi memaklumkan berhubung kematian isterinya.

”Wisma Putra ada hubungi saya malam tadi dan memaklumkan bahawa perkara ini (kematian isteri) memang telah berlaku.

”Mereka ada butiran lanjut, namun saya diminta untuk menunggu kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Wisma Putra,” katanya di Lapangan Terbang Pulau Pinang (LTAPP) di sini, hari ini.

Pagi ini, Muhammad Kamarul yang bertugas sebagai seorang pensyarah di Universiti Sains Malaysia (USM) bersama seorang anak perempuannya berlepas dari LTAPP menuju Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sebelum berlepas ke Jeddah, kira-kira pukul 5 petang nanti.

“Saya dan anak perempuan saya akan ke Jeddah, jenazah akan dikebumi di sana (Jeddah),” ujarnya.

Beliau bagaimanapun meminta semua pihak agar bersabar dan menunggu kenyataan rasmi daripada Wisma Putra bagi mengelakkan sebarang kekeliruan atau spekulasi tidak berasas.

Pelakon Nadia Kesuma atau nama sebenarnya,Nadiah Kasumawati Abdul Karim,50, disahkan meninggal dunia akibat sakit jantung.

Allahyarham Nadia dilapor gagal dikesan selepas penerbangannya ke London, United Kingdom (UK) dari Kuala Lumpur transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Khamis lalu.

Bagaimanapun, Wisma Putra mengesahkan Nadia yang dilapor hilang di Arab Saudi sebelum ini, dikesan sudah meninggalkan lapangan terbang Jeddah.

Sebelum ini, Muhammad Kamarul dilapor merayu kerajaan menggerakkan usaha diplomatik dengan kerajaan Arab Saudi bagi mempercepatkan proses pencarian isterinya.

Allahyarham Nadia menyertai kumpulan umrah dan ziarah sebuah agensi pelancongan membabitkan 21 peserta sejak 14 Januari selama dua minggu. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |