Misteri kehilangan terjawab, Nadia Kesuma meninggal di Jeddah

3 hours ago 3

PETALING JAYA – “Allahyarham seorang sahabat yang baik, rajin bersedekah.”

Demikian luahan sahabat baik Nadia Kesuma, pelakon Anne Abdullah mengenai keperibadian arwah sejak mengenalinya lebih dua dekad lalu selepas sama-sama aktif di arena seni.

Kata Anne atau nama lengkapnya, Noraini Abdullah, 54, berkata arwah merupakan wanita yang aktif termasuk ligat menjalankan perniagaan walaupun perlu berulang alik dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur.

“Kami sudah lama berkawan, malah terus jadi rakan baik selepas beliau menjadi ahli jawatan kuasa Presiden Gagasan Transformasi Anak Seni (GTAS), manakala saya sebagai Presiden.

“Saya nampak kesungguhannya dalam setiap bidang disertai sama ada lakonan mahupun perniagaan. Beliau rajin, tak kisah pun ‘turun’ KL hampir setiap minggu jika ada urusan kerja, sangat prihatin serta baik hati.

“Beliau juga kerap bersedekah. Walaupun tak bercerita, kita sebagai kawan tahu banyak perkara baik dilakukannya. Pemergian arwah meninggalkan 1001 hal baik,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online.

Pernah mengerjakan umrah bersama-sama pada tahun 2022, katanya mereka memang kerap berjumpa dan kali terakhir mereka berlakon dalam drama adalah menerusi Seoul Cinta, baru-baru ini.

Sekali gus, apabila dikhabarkan Nadia atau nama sebenarnya Nadiah Kasumawati Abdul Karim, 50, Anne antara individu pertama meminta bantuan media untuk menjejaki ibu kepada empat anak itu

“Banyak perkara kami kongsikan, malah ketika beliau mahu mengerjakan umrah kali ini juga sudah dimaklumkan kepada saya awal-awal lagi. Macam biasa, kita doakan urusannya dilancarkan.

“Apabila suaminya maklumkan beliau tak dapat dihubungi selepas tiba di Jeddah, tentu sahaja kita risau sebab tahu beliau akan maklumkan keberadaannya,” ujarnya.

Awal pagi tadi terlerai misteri kehilangan Nadia Kesuma sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah untuk transit ke London pada 15 Januari lalu.

Suaminya, Prof. Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah, 57, memaklumkan pemergian isterinya melalui hantaran Facebook (FB), awal pagi tadi.

Pada hantaran itu, Muhammad Kamarul menyatakan Allahyarham Nadia meninggal di Jeddah pada pukul 15 Januari, pukul 8.07 pagi, waktu tempatan.

Sebelum ini, Muhammad Kamarul dilapor merayu kerajaan menggerakkan usaha diplomatik dengan kerajaan Arab Saudi bagi mempercepatkan proses pencarian isterinya.

Allahyarham Nadia menyertai kumpulan umrah dan ziarah sebuah agensi pelancongan membabitkan 21 peserta sejak 14 Januari selama dua minggu. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |