‘Sinis tentang tatu, macamlah mereka paling layak masuk syurga’

7 hours ago 4

PETALING JAYA – Pelakon Alicia Amin percaya setiap individu mempunyai hak dalam melakukan sebarang perubahan dalam kehidupan sendiri termasuk mencacah tatu pada tubuh badan mereka.

Menurut Alicia atau Raja Alicia Raja Amin, 30, keputusan tersebut tidak seharusnya menjadi perdebatan ramai dan mengakui membuat dirinya yang juga memiliki tatu berasa kurang selesa mengenainya.

“Sifat segelintir orang menjadi pelik dan sinis tentang tatu, seolah-olah merekalah yang paling layak masuk syurga.

“Perkara itu memang membuatkan saya rasa kurang selesa,” katanya dalam platform Threads.

Ujarnya, dia turut tertanya-tanya mengapa isu tersebut menjadi bualan hangat ramai sebelum mengetahui semuanya berpunca selepas seorang pempengaruh media sosial mengakui mencacah tatu disebabkan masalah kemurungan.

Namun, dia memilih untuk tidak mengulas secara terperinci sebaliknya menegaskan setiap orang memiliki sebab tersendiri dalam membuat sebarang keputusan.

“Pada mulanya saya tertanya-tanya kenapa orang dalam Threads sibuk bercakap tentang solat, tatu dan kemurungan.

“Sekarang baru saya faham rupa-rupanya ada isu lain melibatkan seseorang dan tatu yang dimilikinya.

“Secara peribadi, saya tiada komen tentang individu berkenaan kerana setiap orang mempunyai alasan tersendiri untuk memilih body art atau melakukan sebarang perubahan pada diri,” ujarnya.

Sebagai individu yang turut memiliki tatu, dia turut mempertikai mengapa isu tatu tersebut menjadi hal besar sehingga tular dalam media sosial sejak semalam.

“Biarkan setiap orang membuat pilihan mereka sendiri selagi tidak memudaratkan orang lain.

“Mengapa keputusannya memilih untuk mencacah tatu menjadi viral? Saya sudah terlalu tua untuk hal begini, biarkan saja.

“Saya sendiri mempunyai kerjaya walaupun mempunyai tatu separuh lengan dan semuanya akan baik-baik sahaja,” jelasnya.

Sebelum ini, dia pernah memberitahu tidak pernah menganggap bahawa tatu menjadi penghalang untuk dirinya membina nama dalam industri hiburan tanah air.

Bintang drama Kuasa: One Throne. Three Heirs. No Mercy itu bahkan mengambil sikap tidak kisah dengan tohmahan ramai terutama mengenai penampilan dirinya yang dikatakan seksi dan bertatu. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |