Singapura guna ISA tahan remaja ekstremis 

8 hours ago 3

SINGAPURA – Seorang pelajar berumur 18 tahun yang terpengaruh dengan ideologi ekstremis, ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Singapura, lapor laman berita Channel News Asia semalam. 

Nick Lee Xing Qiu yang berasal daripada etnik Cina, dilaporkan berhasrat melancarkan serangan terhadap orang Melayu dan penduduk Islam di Singapura. 

Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) Singapura berkata, pelajar terbabit percaya etnik Cina, Korea dan Jepun adalah lebih unggul berbanding bangsa lain. 

“Perintah tahanan terhadap Xing Qiu dikeluarkan pada Disember tahun lalu. Dia merupakan pemuda Singapura ketiga yang mempunyai ideologi ekstremis dan ditangani di bawah ISA,” kata ISD. 

Pemuda itu menyemai ideologi permusuhan terhadap orang Melayu dan Islam pada awal 2023 selepas terpengaruh dengan kandungan berunsur Islamofobia di media sosial. 

“Dia juga meluangkan masa beberapa jam sehari untuk mencari dan menggunakan kandungan online pelampau,” demikian menurut ISD.

Sikap ekstremis Xing Qui semakin mendalam menjelang awal 2024 sebelum dia mengembangkan permusuhan kuat terhadap orang Melayu dan Islam serta etnik lain yang secara tradisinya disasarkan oleh pelampau berhaluan kanan termasuk keturunan Yahudi, Mexico, Afrika Amerika dan India.

“Pemuda itu menyokong ketuanan kulit putih kerana merasakan Islam memberi ancaman kepada budaya kulit putih,” tambah ISD.

Pada September 2024, Xing Qui mencacah tatu sonnenrad pada siku kanannya iaitu simbol yang digunakan oleh penyerang masjid di Christchurch.

Dia turut membeli baju-T dengan cetakan simbol dikaitkan dengan fahaman neo-Nazi, ketuanan kulit putih dan kumpulan pelampau berhaluan kanan yang lain.

“Walaupun Xing Qui takut untuk melakukan serangan seorang diri, dia mengaku bersedia melakukan serangan bersama-sama individu lain yang dikenalinya secara online.

“Antara komplot serangannya termasuk melakukan serangan gaya Tarrant ke atas umat Islam di sebuah masjid di Singapura menggunakan senjata api buatan sendiri, pisau dan molotov koktel. 

“Ekstremisme adalah kebimbangan keselamatan yang semakin meningkat di seluruh dunia dan Singapura tidak terlepas daripada ancaman ini.

“ISD akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu di Singapura yang menyokong, mempromosi, menjalankan atau membuat persediaan untuk melakukan keganasan bersenjata,” tambah ISD. – AGENSI

Read Entire Article
Pertanian | | | |