KLANG – Kelicikan sindiket yang menjadikan minyak masak peket satu kilogram (kg) sebagai ‘modal’ jenama mereka terbongkar menerusi serbuan di kawasan perindustrian Klang Utama di sini hari ini.
Serbuan dilakukan kira-kira pukul 1 tengah hari itu turut berjaya merampas 133,000 tan minyak masak peket bernilai RM333,000.
Operasi dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama cawangan khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor berkenaan turut menahan sembilan suspek termasuk pengurus syarikat berusia 20 hingga 40an.
Pengarah KPDN Selangor, Mohd. Zuhairi Mat Radey berkata, siasatan mendapati minyak masak peket itu diperoleh daripada pembekal sebelum diseleweng dengan diisi di dalam tong jerikin yang mempunyai jenama mereka.
Katanya, sebuah tong jerikin seberat 17 kg tersebut dijual pada harga RM76 berbanding harga pasaran RM118.
“Walaupun rendah, namun mereka masih dapat mengaut untung yang banyak.
“Jenama itu disyaki telah berada dalam pasaran dan berdaftar,” katanya pada sidang akhbar di lokasi kejadian hari ini.
Beliau memberitahu, sindiket ini melakukan penyelewengan dengan memotong plastik bungkusan peket minyak dan memindahkan ke dalam tong jerikin secara manual melalui corong minyak.
Sindiket juga berselindung dengan mempunyai premis stor pemindahan di sebelah premis berlesen milik mereka.
“Siasatan awal mendapati sindiket dipercayai telah beroperasi sejak enam bulan lalu.
“Lebih mengejutkan, hasil pemeriksaan menemui helaian dokumen telah dimusnahkan dipercayai berkaitan pembekalan minyak masak peket dan urus niaga,” katanya.
Jelasnya, siasatan lanjut sedang dijalankan dalam mengesan pihak yang terlibat dengan sindiket ini.
“Kes disiasat mengikut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] iaitu memiliki barang kawalan dengan niat untuk melakukan kesalahan,” katanya. – KOSMO! ONLINE