KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen (JIM) menumpaskan sindiket perjudian dalam talian dengan menahan 19 individu warga asing menerusi Operasi Khas di kawasan Bukit Bintang meliputi Jalan Alor, Jalan Changkat dan Jalan Bedara, di sini semalam.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi bermula serentak pukul 10.30 malam itu melibatkan 25 pegawai pelbagai pangkat dari Pasukan Taktikal Khas (Pastak) Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
Menurutnya, serbuan dijalankan berdasarkan hasil risikan bersepadu selama satu bulan.
“Hasil pemeriksaan, seramai 19 individu terdiri daripada 12 lelaki warga Bangladesh, empat lelaki warga Myanmar dan tiga lelaki warga Indonesia berusia di antara 21 hingga 50 tahun telah ditahan.
“Kesemua yang ditahan dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki sebarang dokumen
perjalanan yang sah dan tinggal lebih masa di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, selaij itu, dua lelaki dan seorang wanita tempatan telah diberikan Notis untuk hadir ke Pejabat Imigresen bagi membantu siasatan lanjut.
Katanya, JIM turut merampas pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan oleh sindiket berkenaan, melibatkan 59 unit tablet pelbagai jenama, tiga unit monitor, tiga unit dekoder televisyen litar tertutup (CCTV).
“Sindiket perjudian dalam talian ini menyasarkan warga asing sebagai pelanggan utama, dengan menawarkan pelaburan wang antara RM50 hingga RM500 bagi setiap individu, dengan janji pulangan keuntungan yang tinggi dalam tempoh singkat.
“Premis-premis ini beroperasi setiap
hari dan semakin aktif khususnya pada waktu malam hingga lewat pagi,” ujarnya.
Zakaria berkata, sindiket itu didapati mengamalkan kawalan keselamatan yang ketat dengan melantik penjaga warga asing dikenali ‘kapten’ selain membuat pengecaman wajah sebagai tapisan pelanggan sebelum dibenarkan masuk.
“Kesemua premis perjudian ini berselindung di sebalik rumah sewa dan premis perniagaan kecil bagi mengaburi penguatkuasaan pihak berkuasa,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

3 hours ago
3

















































