Sindiket edar ganja ke Eropah tumpas, RM5.9 juta dirampas

2 days ago 16

SHAH ALAM – Kelicikan sindiket yang baru dua bulan beroperasi menggunakan rumah teres sebagai stor pengedaran bunga ganja untuk pasaran tempatan dan antarabangsa akhirnya tumpas menerusi empat serbuan berasingan, baru-baru ini.

Operasi selama dua hari bermula 3 Oktober lalu di sekitar Subang Jaya, Petaling Jaya dan Selayang itu membawa kepada penahanan tujuh suspek tempatan termasuk dalang utama berusia antara 25 hingga 41 tahun.

Turut dirampas bersama semua suspek adalah bunga ganja dengan berat keseluruhan 173 kilogram bernilai RM5.9 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan mendapati sindiket ini juga mengedarkan daun ganja yang telah dimampatkan untuk pasaran Eropah.

Katanya, ini berdasarkan penemuan ketulan mampat daun itu yang telah dibungkus dengan pelabelan menggunakan Bahasa Inggeris.

“Daun ganja yang telah dimampatkan itu adalah seberat 100 gram yang dianggarkan berharga RM500.

“Kita percaya dadah itu telah bersedia untuk dihantar menggunakan kurier udara atau laut ke Eropah,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Menurutnya, siasatan mendapati rumah teres dua tingkat yang dijadikan stor penyimpanan itu disewa antara RM2,500 hingga RM3,000.

Tambah Hussein, suspek-suspek yang ditahan di dalam rumah, dalam kereta di tepi jalan dan parkir sebuah kondominium itu bertugas sebagai penghantar, koordinator, dalang dan rakan sekutu dengan mereka.

“Dua wanita yang ditahan pula merupakan teman wanita kepada suspek-suspek itu.

“Semakan mendapati empat suspek memiliki rekod lampau dengan hingga 18 kesalahan,” katanya.

Jelasnya, pihaknya turut menyita dua buah kereta masing-masing jenis Honda HRV dan Perodua Ativa dianggarkan RM129,000.

“Kesemua suspek kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |