Sindiket dadah RM14 juta dari Pantai Timur tumpas

5 hours ago 2

GOMBAK – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah yang aktif membawa masuk bekalan dari pantai timur ke pasaran Lembah Klang dengan rampasan dadah bernilai RM14 juta dalam tiga siri serbuan pada 13 dan 14 Oktober lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, hasil risikan berterusan pihaknya membawa kepada penahanan empat lelaki tempatan dan seorang wanita berusia antara 29 hingga 38 tahun di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

Beliau berkata, dalam serbuan pertama di sebuah rumah teres di Batu Caves, polis menahan sepasang suami isteri yang disyaki berperanan sebagai stockkeeper.

“Pemeriksaan lanjut menemukan 197 bungkusan plastik berisi dadah jenis ketamin seberat kira-kira 200 kilogram dan 121 bungkusan plastik berisi methamphetamine seberat 125 kilogram.

“Serbuan kedua di kawasan parkir sebuah kondominium di Wangsa Maju berjaya menahan seorang lelaki tempatan, namun tiada rampasan dibuat. Serbuan ketiga pula di sebuah unit kondominium di kawasan sama menahan dua lagi lelaki tempatan tanpa penemuan barang terlarang,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, di sini hari ini.

Menurut beliau, jumlah keseluruhan rampasan dadah jenis ketamin dan methamphetamine itu dianggarkan bernilai RM14 juta, yang mampu menjejaskan hampir 1.29 juta individu jika dipasarkan.

Tambahnya, siasatan mendapati sindiket tersebut aktif sejak awal tahun ini dan menggunakan rumah sewa di Lembah Klang sebagai stor penyimpanan sementara sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.

“Modus operandi mereka ialah membawa dadah melalui laluan darat dari pantai timur termasuk laluan utama dan laluan tikus untuk dipasarkan di sekitar Lembah Klang,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Hussein berkata, ujian air kencing mendapati kesemua suspek negatif dadah dan mereka kini direman selama tujuh hari bermula 14 hingga 20 Oktober.

Katanya lagi, polis turut menyita aset bernilai RM300,000 termasuk enam buah kenderaan pelbagai jenis, barangan kemas dan harta lain di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

Beliau turut menyeru orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti dadah melalui talian hotline JSJN di 012-208 7222. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |