KUALA LUMPUR – Kenyataan Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd. Azam Ahmad bahawa banyak perkara negatif membabitkan sistem pendidikan negara ‘disimpan bawah karpet’ bukan bermaksud kes berlaku di sekolah disembunyikan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, ‘simpan bawah karpet’ dimaksudkan adalah terdapat kes dilaporkan tidak dianggap serius menyebabkan tiada tindakan menyeluruh dilaksanakan.
Menurut beliau, perkara itu amat menggusarkan pihaknya kerana ia boleh menyebabkan sebahagian kes berlarutan sehingga menimbulkan implikasi yang lebih besar.
Justeru, katanya, semua kes yang dikesan ‘disimpan bawah karpet’ itu akan dibawa keluar oleh KPM untuk ditangani bagi mengelakkan sebarang kejadian lebih buruk.
“Terdapat insiden yang sudah diketahui atau dimaklumkan kepada pihak berkaitan, guru, pentadbir, guru kaunseling, Pejabat Pendidikan Daerah (JPN) atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN)
“Bagaimanapun dianggap kes kecil, tidak serius atau bersifat sementara. Akibat persepsi itu, tindakan intervensi mungkin ringan dan tidak menyeluruh,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) berhubung tindakan KPM bagi memastikan insiden tragis membabitkan pelajar sekolah tidak berulang.
Media sebelum ini melaporkan, Mohd. Azam mendedahkan, hanya dalam tempoh tiga bulan selepas dilantik memegang jawatan, beliau mendapati banyak insiden negatif di sekolah ‘disimpan di bawah karpet’
Beliau dipetik sebagai mengingatkan semua insiden negatif mesti dilaporkan dan menjadi tanggungjawabnya untuk mendedahkan seumpamanya bagi mengelak kejadian sama berulang.
“Jika semua mahu disimpan dalam karpet, seolah-olah hanya perkara baik sahaja yang ada… tetapi hakikatnya ada sesuatu yang berlaku.
“Ini umpama duri dalam daging dan umpama bom atom yang hanya tunggu untuk meletup sahaja. Ia memang menyedihkan banyak data dalam gejala ini saya kutip,” kata Mohd. Azam. – KOSMO! ONLINE