GOMBAK – Seorang lagi warga Indonesia yang ditembak dalam kejadian di perairan Tanjung Rhu, Banting pada 24 Januari lalu meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Serdang awal pagi semalam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun.
“Kes tersebut turut disiasat di bawah Seksyen 186 akta sama kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 39 Akta Senjata 1960 bagi kesalahan melepaskan tembakan.
“Setakat ini polis merakam keterangan 31 saksi dan kertas siasatan sudah dirujuk ke Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang akhbar Ops Palu sempena Thaipusam di sini, hari ini.
Dalam insiden pada pukul 2.58 pagi, 24 Januari lalu, Pusat Kawalan Maritim Malaysia di Klang mengesan bot dinaiki migran Indonesia yang cuba memasuki perairan negara di Pulau Carey.
Dalam insiden tegang itu, lima lelaki ditembak selepas dipercayai menyerang pegawai Maritim Malaysia (APMM) yang melakukan rondaan dengan seorang daripada mereka dilaporkan maut.
Susulan kejadian itu, 100 penunjuk perasaan warga Indonesia melempar telur ke arah bangunan Kedutaan Malaysia di Jakarta sebagai tanda protes.
Mengulas lanjut, Hussein berkata, hasil penahanan beberapa individu di Pulau Carey oleh Pasukan Gerakan Am (PGA), dua daripada mereka merupakan suspek yang berada dalam bot ketika kejadian tersebut.
“Kedua-dua mereka merupakan warga Indonesia dan berusia dalam lingkungan 30-an,” katanya.
Sementara itu, Hussein berkata, siasatan dilakukan sepenuhnya oleh Polis Diraja Malaysia dan mendapat kerjasama daripada Kedutaan Indonesia untuk mengesan seorang lagi individu. – KOSMO! ONLINE