Sengaja bergambar dengan tokoh kenamaan, kononnya dapat pengiktirafan

1 day ago 2

PETALING JAYA – Tiga badan kehormat utama negara mencapai kata sepakat memperkukuh kerjasama strategik bagi membanteras penyalahgunaan gelaran palsu serta mempertahankan integriti dan kepercayaan awam.

Kesepakatan itu dicapai menerusi sesi dialog bersama julung kali melibatkan Council of Justice of Peace (JP) Selangor, Majlis Datuk Dato’ Malaysia (MDDM) dan Majlis Datuk Persekutuan Malaysia bagi tahun 2026.

Menurut kenyataan bersama, ketiga-tiga majlis memandang serius peningkatan kes individu yang secara palsu atau tanpa kurniaan sah mendakwa memiliki gelaran kehormat seperti Datuk, Datuk Seri, JP malah Tan Sri.
Katanya, majlis turut bersetuju bekerjasama bagi memperketat pengesahan gelaran, menangani penipuan dan salah representasi, serta meningkatkan kesedaran awam dengan kerjasama pihak berkuasa dan masyarakat sivil.

“Trend ini semakin membimbangkan apabila ada pihak yang sengaja bergambar bersama tokoh-tokoh kenamaan termasuk Yang di-Pertuan Agong, raja-raja, pemimpin kerajaan dan tokoh awam, sebelum memuat naik gambar tersebut di media sosial bagi mewujudkan persepsi palsu seolah-olah mereka mempunyai pengiktirafan atau kuasa rasmi.

“Taktik sedemikian sering digunakan untuk mengelirukan orang awam, menipu pelabur serta memperoleh kepercayaan bagi tujuan peribadi atau kewangan. Lebih membimbangkan, terdapat kes melibatkan penggunaan lampu strob biru pada kenderaan, pemakaian uniform dan lambang palsu, serta paparan gelaran tidak diiktiraf pada kad nama, dokumen syarikat dan latar acara rasmi,” menurut kenyataan itu hari ini.

Tegas majlis itu, gambar bersama tokoh awam tidak membawa sebarang bentuk pengesahan, manakala penyamaran sebagai pihak penguat kuasa atau kuasa berkaitan diraja merupakan kesalahan serius di sisi undang-undang

Sesi bersejarah itu dipengerusikan Presiden JP Selangor, Datuk Ng Seong Liong, dengan penyertaan Presiden MDDM, Datuk Samson David Maman serta Naib Presiden MDPM, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim.

Turut hadir wakil Biro Aduan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong, selain ahli jawatankuasa ketiga-tiga majlis.

Sementara itu, Michael Chong memaklumkan isu gelaran palsu telah ditanganinya sejak tahun 2000 namun masih berlarutan manakala Samson Maman pula mendedahkan lebih 36 laporan polis dibuat sejak 2023 berkaitan penyalahgunaan gelaran kehormat.

Ujarnya, orang ramai digesa membuat semakan melalui saluran sah dan melaporkan sebarang penyalahgunaan kepada pihak berkuasa berkaitan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |