IPOH – Politeknik Ungku Omar (PUO) menjalin kerjasama dengan sembilan buah syarikat bagi memperkasakan agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negara ini.
Kerjasama itu dijalin menerusi pemeteraian surat hasrat (LOI) yang ditandatangani antara PUO dan sembilan buah syarikat tersebut di Perpustakaan Tan Sri Othman Merican, PUO di sini hari ini.
Pengarah PUO, Dr. Shamsuri Abdullah dalam ucapannya menzahirkan penghargaan ke atas atas kesudian kesemua syarikat tersebut dalam bersama-sama membantu memacu ke arah kecemerlangan TVET negara.
“Dengan jalinan kerjasama ini, ia akan dapat meningkatkan kebolehpasaran graduan di mana pelajar memperoleh pengalaman langsung melalui latihan industri, program reskilling dan upskilling serta peluang pekerjaan selepas tamat pengajian.
“Selain itu, ia juga dapat memperkukuhkan agenda TVET dengan memastikan kurikulum yang ditawarkan selari dengan keperluan industri,” katanya di sini hari ini.
Sembilan buah syarikat itu ialah OSK Holding Berhad, BMI Roofing Systems Sdn. Bhd., Panasonic Air-Conditioning Malaysia Sdn. Bhd., Camfil Malaysia Sdn. Bhd., RZ Management Services, Shukri Yusof & Co., Zahar & Associates Sdn. Bhd., Hisham & Co. dan Real Management Services.
Pada masa sama, Shamsuri berkata, kerjasama itu turut bermatlamat membangunkan tenaga kerja berkualiti yang mana industri dapat menyumbang kepakaran dan teknologi terkini kepada politeknik, sekali gus melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan kompetitif.
“Dengan kerjasama ini juga, ia dapat membuka peluang kepada politeknik untuk menjalinkan hubungan dengan pelbagai syarikat dan organisasi, memperluaskan peluang kerjasama dalam penyelidikan, inovasi serta pembangunan teknologi,” katanya.
Beliau turut merakam penghargaan terhadap pihak industri yang menawarkan program latihan, bengkel dan seminar kepada pelajar serta tenaga pengajar politeknik.
Katanya, ia memastikan mereka sentiasa mengikuti perkembangan terkini dalam bidang masing-masing.
“Sehingga kini, lebih 600 buah industri sedang berkolaborasi aktif dengan PUO termasuk dalam penyediaan tempat latihan industri pelajar. Kerjasama kesemua sektor ini merupakan usaha berterusan yang akan memacu pertumbuhan ekonomi negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE