PETALING JAYA – Kehadiran Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) ke Myanmar bagi menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan paling terkesan akibat insiden gempa bumi mendapat penghargaan daripada rakyat negara tersebut.
Menerusi komen-komen di media sosial termasuk Facebook rasmi SMART, ramai pengguna dari Myanmar berterima kasih kerana kesudian datang ke negara mereka untuk membantu mangsa.
Salah seorang pengguna TikTok alicedar53 turut berkongsi beberapa gambar diambil daripada Facebook SMART dan media di Malaysia berserta kapsyen penghargaan.
“Terima kasih banyak-banyak Malaysia,” katanya.
Ia turut mendapat maklum balas daripada penduduk Myanmar yang bersama-sama mengucapkan terima kasih kepada Malaysia.
“Saya sangat menghargai bantuan dan kebaikan anda Malaysia. Terima kasih banyak-banyak kerana membantu negara kami. Myanmar mendoakan semoga anda selamat dan pulang ke tanah air di Malaysia dengan gembira,” komen Yee Htun.
“Kami sangat menghargai, begitu hebat Malaysia atas kebaikan anda. Punya hati yang besar,” komen Hsu.
Seorang pengguna Facebook Dwt Chin pula kagum dengan kesungguhan pasukan SMART yang datang ke negaranya biarpun umat Islam di Malaysia menyambut Hari Raya Aidilfitri.
“Terima kasih Malaysia, semasa sambutan penting hari raya, anda memilih bantu negara kami dengan kebaikan hati, terima kasih,” katanya.
Kosmo! melaporkan, kerajaan membuat keputusan menghantar SMART ke Myanmar bagi menyertai operasi SAR di kawasan paling terkesan akibat insiden gempa bumi.
Dalam masa sama, kerajaan memutuskan untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan berjumlah RM10 juta untuk permulaan kepada rakyat Myanmar yang terkesan akibat tragedi gempa bumi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, bantuan itu juga sebagai manifestasi tanggungjawab dan solidariti Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025. – KOSMO! ONLINE