Selangor terima RM450 juta untuk inisiatif Bandar Pintar

2 hours ago 4

SHAH ALAM – Sejumlah RM450 juta diperuntukkan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi menyokong pelaksanaan inisiatif Bandar Pintar Selangor.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, ia merupakan peningkatan peruntukan daripada permohonan yang dikemukakan oleh Kerajaan Negeri Selangor sebanyak RM350 juta.

Menurutnya, pelaksanaan bandar pintar ini akan memperkukuh keupayaan perancangan dan pengurusan bandar bagi Selangor melalui penggunaan data bersepadu dan teknologi pintar.

“Ini seterusnya menyokong pembuatan dasar yang lebih tepat, mampan dan berimpak tinggi.

“Inisiatif ini juga berperanan sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi digital negeri, menggalakkan inovasi serta
meningkatkan daya tarikan Selangor sebagai destinasi pelaburan strategik,” katanya pada sembah ucapan Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) Pembangunan Bandar Pintar Selangor di sini, hari ini.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah turut berkenan menyaksikan pertukaran MoU antara Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Dr. Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin.

Menurut Fahmi, MoU yang dimeterai ini memberikan tumpuan kepada tiga bidang utama di bawah penyelarasan dan pemantauan Pusat Pengoperasian Pintar dan Bersepadu Selangor.

Tambahnya, ia merangkumi pembangunan infrastruktur kesalinghubungan pintar, peningkatan keselamatan awam dan pengurusan trafik dan pelaksanaan pengurusan banjir pintar.

“Dengan populasi sekitar 7.4 juta, Selangor merupakan negeri yang mempunyai jumlah penduduk tertinggi di Malaysia, sekali gus mencerminkan jumlah penerima manfaat yang besar bagi sebarang inisiatif, pelaburan atau penyediaan perkhidmatan.

“Selangor kini muncul sebagai negeri peneraju liputan 5G di negara ini dengan telah mencapai 96.9 liputan 5G hingga Disember 2025,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |