Sektor perikanan lubuk eksploitasi kerja warga asing

2 months ago 38

KLANG – Sektor perikanan dikenal pasti antara lubuk pengekploitasian nelayan dalam kalangan warga asing.

Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia, Laksamana Muda Mohd. Zawawi Abdullah berkata, ini melibatkan warga Bangladesh dan Myanmar yang digajikan tanpa permit sah bagi menangkap ikan di laut.

Namun, katanya, ia sukar dikesan susulan pekerja-pekerja asing telah diugut oleh majikan mereka.

“Selalunya, mereka akan ditakutkan majikan. Kalau kita minta bayaran gaji, dia (majikan) boleh siapkan (dokumen slip gaji itu) walaupun sebenarnya mereka tidak dibayar gaji.

“Modus operandi untuk sektor maritim agak sukar. Bila kita dapat bot nelayan apa dokumen tiada, selalu kita akan pergi ke kes Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM),” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penutupan Operasi Redback 19, hari ini.

Beliau menegaskan, siasatan terperinci perlu dilakukan ekoran ATIPSOM di peringkat maritim adalah sesuatu kompleks.

“Nak kata tengok kecederaan (didapati) tiada. Kalau bandingkan dengan pelacur mudah kesan dengan pasport tiada dengan mereka sendiri buat laporan.

“Apa sahaja tangkapan kita melibatkan pendatang asing (termasuk nelayan asing) selalunya bukan disiasat Akta Imigresen sebaliknya ATIPSOM. Bila sabitkan bawah ATIPSOM, kita dapat reman lebih lama utk siasat,” jelasnya.

Mohd. Zawawi memaklumkan, pihaknya telah merekodkan 29 tangkapan dibawah ATIPSOM dalam tempoh empat tahun ini.

“Secara pecahannya lima kes bagi tahun 2021, 2022 (13 kes) dan 2023 (4 kes) serta tujuh kes sehingga November tahun ini.

“Selain itu, sepanjang sembilan bulan ini kita berjaya merekodkan 64 kes tangkapan melibatkan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dengan menahan seramai 249 orang di seluruh negara,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |