PUCHONG – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan beliau tidak pernah memikirkan kemungkinan peletakan jawatan oleh Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh.
Katanya, perkara tersebut tidak pernah terlintas di fikirannya ketika diajukan soalan oleh pemberita mengenai kesediaan UMNO menerima pengunduran Dr. Muhamad Akmal yang juga Exco kerajaan Melaka.
“Saya tidak pernah fikirkan perkara itu. Terima kasih,” katanya ketika ditemui pemberita Selepas menyampaikan amanat tahun baharu 2026 kepada warga Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) di Markas Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (Smart) di Pulau Meranti di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas spekulasi berhubung kemungkinan Dr. Muhamad Akmal berundur susulan perbezaan pandangan yang timbul berkenaan kedudukan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan.
Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada beliau yakin Dr. Muhamad Akmal tidak akan berundur, Ahmad Zahid menjawab beliau tidak mampu memberikan jaminan terhadap perkara tersebut.
“Mana boleh saya yakinkan diri saya untuk itu,” ujarnya.
Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau secara umum berpandangan golongan muda perlu menerima perbezaan pandangan dan kritikan sebagai sebahagian daripada perjuangan politik.
Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dirinya pernah menjadi Ketua Pemuda UMNO dan golongan pemuda sememangnya perlu mempunyai idealisme yang tersendiri.
“Kalau berdepan pandangan berbeza atau komen-komen, kita mesti terima itu sebagai melayani perbezaan pendapat,” katanya.
Menurut beliau, selama ini ramai pihak termasuk pemimpin politik sering mengkritik pihak lain, namun apabila diri sendiri dikritik, ada yang gagal menerimanya.
“Kenapa bila orang kritik kita, kita kata orang itu tidak demokratik atau tidak terima hakikat, tetapi bila kita pula dikritik atau ada yang tidak setuju dengan kita, mula mahu mencari jalan singkat,” katanya.
Ahmad Zahid menegaskan, perkara itu tidak seharusnya berlaku kerana dalam politik, tidak semua orang akan bersetuju dengan pandangan dikemukakan.
“Kalau tidak bersetuju, tangani ketidaksetujuan itu dengan perjelasan, bukan dengan tindakan-tindakan lain,” ujarnya.
Beliau menjelaskan, kenyataan itu tidak ditujukan kepada mana-mana individu secara khusus, sebaliknya bersifat umum kepada semua pemimpin dan pemuda dalam politik.
“Pemuda mesti ada idealisme. Soal saranan itu diterima atau tidak, idealisme itu tetap perlu diperjuangkan dan ada kaedah-kaedah untuk kita menyentuh dan mendepaninya,” katanya.
Ahmad Zahid turut berkongsi pengalaman peribadinya yang pernah berdepan kejatuhan dalam perjalanan politik.
“Saya pun pernah terlanggar gunung, terpijak kulit pisang dan tersungkur, tetapi tersungkur itu tidak menyebabkan itu tidak menyebabkan kita tidak boleh bangun semula atau terjelepok di atas tanah.
“Asalkan misai tidak mencecah bumi, kita tetap bangun,” katanya. – KOSMO! ONLINE

1 day ago
4

















































