Saya patut nikah hari ini – Guru taska

1 month ago 32

KLANG – Seorang guru taska yang mencubit pipi dan telinga seorang bayi lelaki berusia 11 bulan minggu lalu didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini yang merupakan hari pernikahannya.

Tertuduh, Nur Suhadah Saharudin, 24, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nurul Mardhiah Mohamed Redza.

Bagaimanapun tarikh serahan dokumen dan jatuh hukum ditetapkan pada 24 Disember depan di Mahkamah Kuala Selangor.

Nur Suhadah didakwa telah menganiaya bayi lelaki berusia 11 bulan sehingga menyebabkan kecederaan fizikal di sebuah taska di Puncak Alam kira-kira pukul 6.15 petang pada 13 Disember lalu.

Justeru, dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda tidak melebihi RM50, 000 atau kedua-duanya.

Nur Suhadah yang tidak diwakili peguam merayu jaminan terhadapnya dikurangkan atas kesalahan itu.

“Saya mengaku bersalah dan janji tidak buat lagi. Hari ini adalah hari nikah saya, esok hari sanding saya,” ujarnya.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Azamuddin Razak bagaimanapun memohon tarikh baharu bagi serahan fakta kes dan jatuh hukum di Mahkamah Kuala Selangor.

“Pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM15, 000 dengan dua penjamin selain pasport diserahkan kepada mahkamah serta tidak menganggu saksi pendakwaan,” katanya.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM10, 000 dengan seorang penjamin dan tidak mengganggu mangsa.

“Kalau ada aduan (mengganggu mangsa) jaminan akan ditarik balik serta-merta,” katanya.

Terdahulu Kosmo! melaporkan berdasarkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang diperoleh, suspek bertindak mencubit pipi bayi tersebut selain terdapat kesan cedera pada telinga mangsa namun bukan dipial.

Hasil siasatan awal polis juga mendapati guru taska terbabit tidak mempunyai sijil bertauliah.

Suspek ditahan 14 Disember lalu selepas ibu bapa bayi mengesan kesan lebam pada pipi dan telinga kanan anak mereka.

Difahamkan, pada awalnya, guru taska itu memberi alasan bahawa lebam tersebut berpunca daripada bayi terjatuh dari meja.

Namun, penyelia taska kemudian menghubungi pengadu iaitu ibu mangsa pada pukul 7.30 malam dan memaklumkan bahawa kesan lebam itu sebenarnya disebabkan oleh tindakan pekerjanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |