Saya kurus, setiap hari rasa ‘burn out’, tak sempat ‘me time’ – Uqasha

1 day ago 7

PETALING JAYA – Dipuji semakin kurus dan cantik, pelakon Uqasha Senrose mendedahkan perubahan fizikalnya bukan disebabkan diet atau rawatan tertentu sebaliknya disebabkan kesibukan kerja dan menguruskan anak perempuannya, Hawra Uqaira yang kini berusia setahun.

Menurut Uqasha atau nama penuhnya, Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 33, dia juga turut membawa Uqaira ke set penggambaran dan menjaga sambil bekerja.

“Orang tanya saya kenapa kurus, sebab kerja. Agak berat untuk saya tinggalkan anak sulung setiap hari sehingga rasa ‘burn out’ (letih melampau) dan tiada masa untuk ‘me time’.

“Tidak mungkinlah asyik nak tinggalkan anak di rumah mak saya, dia pun sudah berusia pasti penat. Mak kita bukan orang gaji dan dia tak sepatutnya jaga cucu pula.

“Ada satu momen, saya membawa Uqaira ke set penggambaran selama 12 hari, mendukung dan beri susu sambil hafal skrip,” katanya dalam siaran langsung TikTok.

Menerusi siaran langsung sama, dia menghargai dan berterima kasih kepada ibunya, Rosmizah Mohd. Noor dan adiknya, Nelydia Senrose kerana banyak membantu dalam kehidupan sehariannya termasuk menjaga Uqaira.

Dalam pada itu, dia juga sempat memberi bayangan keputusan kembali bekerja adalah atas permintaan individu lain yang difahamkan, suaminya iaitu pelakon Kamal Adli.

“Saya kerja bukan kehendak sendiri tetapi dia (difahamkan Kamal) yang kata buatlah ‘comeback’ sedangkan anak baru berusia setahun empat bulan.

“Dia pun tengah kerja juga untuk sebuah drama. Jadi, sebagai ibu, saya yang ambil anak kerana lelaki dan perempuan jaga berbeza.

“Saya tidak mengadu cuma beritahu kenapa dan bagaimana saya melalui fasa ini. Namun, apa yang akan berlaku kemudian, saya serahkan kepada takdir,” katanya lagi.

Sejak semalam, nama Uqasha menjadi bualan hangat ramai apabila ada pihak mendakwa dia dan Kamal tidak lagi saling mengikut akaun Instagram masing-masing.

Perkara tersebut mencetuskan tanda tanya sekali gus mengundang spekulasi negatif mengenai status rumah tangganya.

Untuk rekod, Uqasha mendirikan rumah tangga dengan Kamal pada 5 November 2021 di Janda Baik, Pahang.

Hasil perkahwinan, pasangan sama cantik sama padan itu dikurniakan Uqaira pada April 2024. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |