‘Saya ingatkan tak mati lagi’

1 month ago 31

KUANTAN – “Saya ingatkan tak mati lagi, saya tak perasan,” itu alasan seorang penunggang motosikal selepas didapati gagal memperbaharui lesen memandu dalam Ops Khas Motosikal 2024 di bandar Kuantan malam tadi.

Meskipun berkali-kali menyatakan alasan berkenaan, namun lelaki berusia 25 tahun berkenaan tetap dikenakan notis saman selepas kira-kira tujuh bulan lesennya didapati tamat tempoh.

Akibat daripada kecuaiannya itu juga menyebabkan dia terpaksa menunggu individu lain yang mempunyai lesen memandu untuk membawa balik motosikalnya atau motosikalnya akan disita.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Pahang (JPJ) Pahang, Syed Ahmad Khairulanwar Alyahya Syed Abdul Rahman berkata, lupa lesen sudah tamat tempoh menjadi alasan utama pengguna motosikal yang didapati gagal memperbaharui lesen memandu malam semalam.

Bagaimanapun katanya, pihaknya tetap mengenakan tindakan mengeluarkan notis saman kerana mereka didapatu membiarkan lesen memandu tamat tempoh dalam masa yang lama.

“Bagi pemuda tersebut lesen memandunya tamat sudah lama pada Mei dan sekarang ini Disember maksudnya sudah tujuh bulan, lesen ini ikut tarikh lahir kita kalau tujuh bulan, tidak dapat untuk diberikan keringanan.

“Dalam tempoh tiga jam setengah kita mengeluarkan 555 notis saman, ini agak tinggi dan membimbangkan apatah lagi yang tingginya kesalahan ketiadaan atau tamat tempoh lesen memandu dan juga cukai jalan tamat tempoh,” katanya ketika ditemui dalam operasi di Jalan Tanah Putih di sini malam semalam.

Tambahnya bagi kesalahan tiada lesen memandu individu terbabit perlu membayar kompaun manakala bagi kesalahan tiada cukai jalan dan insurans individu terbabit perlu ke mahkamah dan kenderaan akan disita.

Menurutnya dalam operasi yang melibatkan 184 penguat kuasa termasuk 169 pegawai anggota JPJ dan lapan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkusaan Trafik (JSPT) Kuantan serta tujuh anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) itu pihaknya mengambil tindakan terhadap 388 daripada 2,741 kenderaan yang diperiksa.

Katanya, daripada jumlah itu pihaknya mengeluarkan 555 notis saman melibatkan pelbagai kesalahan dengan 131 notis kesalahan melibatkan lesen memandu dan 103 kesalahan melibatkan cukai jalan tamat tempoh.

“JSPT turut mengeluarkan 21 saman dan kenderaan disita untuk malam ini sahaja adalah sebanyak 25 kenderaan iaitu 24 motosikal dan sebuah kereta manakala pihak AADK telah melaksanakan 26 ujian air kencing dan tiada positif,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |