Saya dengar M. Nasir terjumpa Puteri Gunung Ledang – Tiara Jacquelina

14 hours ago 8

KUALA LUMPUR – Penerbit dan pengarah Puan Seri Tiara Jacquelina mendedahkan heronya dalam filem Puteri Gunung Ledang, Datuk M. Nasir, pernah mengalami kejadian mistik ketika penggambaran berlangsung di Gunung Ledang sekitar 20 tahun lalu.

Tiara, 58, memaklumkan kesemua pihak produksi merahsiakan perkara tersebut daripada pengetahuannya demi mengelakkan dia berasa bimbang.

“Mungkin saya tak sesensitif macam orang lainlah. Ada orang bila masuk dalam ruangan (kawasan penggambaran) dia terasa, saya fokus sahaja untuk nak berlakon.

“Tapi pelakon lain yang jadi pasangan pelakon saya ada (pengalaman mistik). Satu produksi tak nak cerita dengan saya sebab itu terjadi di Gunung Ledang.

“Mereka kata ‘Jangan cakap dengan Tiara’ sebab takut saya panik. Dah habis semua penggambaran barulah mereka cerita.

“Saya dengar dia terjumpa dengan Puteri Gunung Ledang,” katanya kepada Kosmo! Online ketika diwawancara program hiburan, MeleTOP.

Bagaimanapun, bintang filem Ringgit Kesorga itu tidak berkesempatan untuk bertanyakan secara peribadi tentang kejadian berkenaan kepada maestro itu sehingga kini.

“Selepas itu, saya tak jumpa dia dan saya tak pernah tanya dia sendiri.

“Sampai sekarang saya tak berpeluang untuk tanya dia. Setiap kali jumpa di sidang media ke apa, macam tak sesuai pula nak tanya,” ujarnya.

Ditanya sekiranya ada mengamalkan upacara sebelum penggambaran Puteri Gunung Ledang, Tiara mengamalkan beberapa tradisi masyarakat Jawa untuk membersihkan diri dan minda.

“Tiada ‘ritual’ (upacara) khas sebelum mula. Ada beberapa perkara yang orang Jawa akan lalui proses seperti berpuasa pada hari tertentu seperti Isnin dan Khamis.

“Mereka juga amalkan puasa mutih. Kita hanya cuma ambil semua yang putih sahaja seperti nasi putih dan air putih untuk 24 jam bagi bersihkan diri kita supaya bersedia dengan sesuatu.

“Kemudian, meditasi untuk tenangkan fikiran awak. Jadi, ritual macam itu saya lalui atau mandi bunga yang bagus untuk kita,” katanya.

Sebelum ini, Tiara dan M. Nasir membawakan watak utama dalam filem arahan Saw Teong Hin.

Filem terbabit berdasarkan daripada cerita lagenda Melayu, Puteri Gunung Ledang, yang dikatakan tinggal di atas Gunung Ledang dan usaha seorang Sultan Melaka untuk meminangnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |