‘Saya cuma nak call mak, sebab tahu mak risau’

6 days ago 8

PETALING JAYA – “Masuk ke sel… makanan tak payah cakaplah, memang cukup-cukup saja. Air pun tak dibagi, jadi kami terpaksa minum air dari tandas.”

Itu antara pengalaman mengerikan yang dikongsi wartawan Astro Awani, Syaff Shukri, ketika menceritakan detik beliau ditahan oleh tentera Israel selepas kapal diserang dalam misi Freedom Flotilla Coalition x Thousand Madleens to Gaza (FFC x TMTG).

Menurutnya, tahanan yang dilalui selama dua malam itu membuka matanya terhadap keperitan sebenar yang dihadapi rakyat Palestin setiap hari.

“Saya makan sikit je dan minum sikit je. Dalam tempoh dua malam saya tidur tu, saya susah nak cakap… itu baru sedikit yang kami lalui. Bayangkan apa yang rakyat Gaza alami hampir setiap hari,” katanya dalam siaran langsung di TikTok Astro Awani.

Beliau turut menyifatkan layanan pihak berkuasa Israel sebagai amat kejam dan tidak berperikemanusiaan.

“Jujur saya cakap orang Israel ni, dari pihak imigresen sampai polis yang jaga makanan pun… semuanya jahat, laknatullah. Saya tak tahu nak cakap macam mana, tapi memang kejam,” katanya.

Syaff turut berkongsi bagaimana beliau berasa sangat bersalah kerana tidak dapat menghubungi keluarganya sepanjang tempoh ditahan.

“Saya cuma nak call (hubungi) mak saya, sebab saya tahu mak risau. Saya sempat cuba hantar mesej terakhir kepada Ashwad Ismail dan juga mak, tapi line terus dipadam, terus hilang,” katanya.

Menurutnya, ketika rampasan kapal berlaku, terdapat lebih 30 askar Israel bersenjata lengkap menaiki kapal mereka, menyebabkan para aktivis tidak mampu melawan.

Syaff bersama lapan lagi delegasi Malaysia kini selamat tiba di Istanbul, Turkiye malam ini, selepas melalui tempoh tahanan dan soal siasat di Israel.

Mereka merupakan sebahagian daripada ratusan aktivis antarabangsa yang menyertai misi kemanusiaan bagi menghantar bantuan ke Gaza. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |