KOTA BHARU – Tindakan dua remaja yang menunggang motosikal tanpa lesen untuk menyambut tahun baharu di bandar Kota Bharu memakan diri apabila mereka dicekup semasa cuba melarikan diri ketika tiba di sekatan jalan raya (SJR) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Jalan Kuala Krai dekat Akademi JPJ Wilayah Timur di sini, malam tadi.
Kedua-dua remaja masing-masing berusia 15 dan 17 tahun itu sanggup menunggang motosikal masing-masing sejauh lebih 50 kilometer dari Kampung Pek, Machang dekat sini semata-mata untuk menyambut ambang tahun baharu bersama rakan-rakan yang lain.
Seorang remaja yang dikenali sebagai Azmi, 17, berkata, dia bersama dua rakannya masing-masing menunggang motosikal tidak perasan pihak JPJ menjalankan SJR di sekitar bandar Kota Bharu kira-kira pukul 9 malam.
Menurutnya, dia menunggang jenis Yamaha Lagenda yang sudah diubah suai cuba melarikan diri, namun gagal apabila ditahan anggota JPJ.
“Saya tidak perasan ada sekatan JPJ. Jadi, saya bersama rakan-rakan cuba lolos, namun hanya seorang daripada kami sempat lari.
“Motosikal ini dibeli atas nama abang dan saya mula mengubah suainya sejak beberapa tahun lalu. Setakat ini, saya sudah berhabis sehingga RM4,000 hasil duit bekerja sebagai tukang rumah bersama bapa untuk ubah suai motosikal ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Akademi JPJ Wilayah Timur di sini semalam.
Azmi memberitahu, dia yang sudah tidak bersekolah sejak beberapa tahun lalu sentiasa memperuntukkan wang upahnya untuk membeli alat ganti motosikal.
Menurutnya, dia akan mengambil semula motosikalnya itu daripada sitaan JPJ selepas menjelaskan 10 notis saman yang dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen dan ubah suai kenderaan.
Sementara itu rakan kepada Azmi yang dikenali sebagai Danish, 15, berkata motosikalnya turut disita kerana dia menunggang tanpa lesen memandu. – KOSMO! ONLINE