Santuari Kelip-Kelip terbesar di Kampung Yak Yah

1 day ago 5

KEMAMAN – Terengganu memiliki tarikan pelancongan terbaharu dengan pembukaan Santuari Kelip-Kelip Kampung Yak Yah di sini yang merupakan antara kawasan pemuliharaan semulajadi terbesar populasi serangga terancam terbabit di negara ini.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, projek santuari menelan belanja RM5.3 juta terbabit yang dimulakan pada tahun 2019 telah siap sepenuhnya baru-baru ini.

Beliau berkata, Santuari Kelip-Kelip Kampung Yak Yah dilengkapi kemudahan jeti pelawat, pusat informasi dan perkhidmatan bot bagi menyaksikan keindahan kelip-kelip pada waktu malam.

“Kawasan sekitar tebing Sungai Chukai di Kampung Yak-Yak sepanjang kira-kira lima kilometer ini dihuni kelip-kelip spesies Pteroptyx tener yang unik kerana koloninya berupaya berkelip secara serentak.

“Langkah membina santuari ini diambil bukan sahaja sebagai tarikan pelancongan tetapi memulihara populasi koloni kelip-kelip di kawasan ini yang didapati telah menurun pada beberapa tahun lalu,” katanya selepas merasmikan Santuari Kelip-Kelip Kampung Yak Yah di sini malam tadi.

Aiman Athirah berkata, kajian pakar entomologi pada tahun 2018 mendapati kawasan santuari terbabit hanya mempunyai 176 koloni kelip-kelip sebelum merosot kepada 104 koloni pada tiga tahun kemudian.

Beliau berkata, pendekatan pemuliharaan di kawasan digazetkan santuari berkenaan dengan menanam 2,000 pokok berembang, nipah (500) dan bakau (200) telah berjaya memulihkan semula koloni serangga terbabit.

“Kini populasi kelip-kelip di Santuari Kelip-Kelip Kampung Yak Yah telah meningkat kira-kira 45 peratus dengan 279 koloni.

“Kawasan ini sudah bersedia untuk menerima kehadiran pengunjung sebagai produk eko-pelancongan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |