PARIS – Salji tebal dan cuaca berais menyebabkan gangguan perjalanan besar-besaran di seluruh Eropah, dengan enam kematian dilaporkan akibat insiden berkaitan cuaca di benua itu, lapor Perbadanan Penyiaran British (BBC) semalam.
Lima orang maut di dua wilayah berasingan di Perancis akibat keadaan pemanduan yang berbahaya, demikian menurut pihak berkuasa, manakala seorang wanita terbunuh di ibu negara Bosnia dan Herzegovina, Sarajevo, selepas salji setinggi 40 sentimeter turun di bandar raya itu.
Ratusan penerbangan telah dibatalkan di seluruh Eropah, menyebabkan beribu-ribu penumpang terkandas di lapangan terbang di Paris, Perancis dan Amsterdam, Belanda.
Menurut pihak berkuasa, tiga orang maut dalam dua insiden berasingan di Landes, barat daya Perancis, akibat lapisan ais nipis dikenali sebagai ais hitam.
Dua lagi terbunuh dalam kemalangan jalan raya berasingan di wilayah Paris.
Salah satunya berpunca daripada perlanggaran antara sebuah kereta dan kenderaan berat di timur Paris, kata polis.
Seorang lagi maut selepas sebuah teksi melanggar pembahagi jalan akibat salji sebelum terjunam ke Sungai Marne, demikian menurut laporan tersebut.
Pihak berkuasa berkata, Lapangan Terbang Roissy–Charles de Gaulle, Paris membatalkan 40 peratus penerbangannya selama beberapa jam semalam bagi membolehkan kakitangan membersihkan salji di landasan.
Lapangan Terbang Orly, Paris pula merancang untuk membatalkan satu perempat daripada penerbangannya dalam tempoh yang sama.
Lebih 400 penerbangan dibatalkan di Lapangan Terbang Schiphol, Amsterdam semalam, menyebabkan gangguan besar terhadap rancangan perjalanan.
Ratusan penumpang terkandas, dengan ramai tidak dapat menyambung penerbangan seterusnya.
Barisan panjang terbentuk di kaunter syarikat penerbangan apabila orang ramai menunggu maklumat mengenai bila penerbangan akan disambung semula.
Sementara itu, rantau Balkan juga mengalami salji dan hujan lebat, di mana polis berkata, seorang wanita meninggal dunia di Sarajevo semalam selepas sebatang pokok tumbang dan menghempapnya. – AGENSI

1 day ago
7
![[VIDEO] ‘Sudah tahu tidak muat, nak juga parkir’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/01/WhatsApp-Image-2026-01-08-at-20.29.48.jpeg)
















































