Rumah dipecah masuk rakan selepas tayang duit ‘berkepuk’

4 hours ago 3

BEIJING – Seorang lelaki di Xiamen, China memecah masuk rumah rakannya sendiri dan mencuri wang berjumlah 73,000 yuan (RM42,500) selepas melihat mangsa kerap menunjukkan kekayaan di media sosial, lapor portal berita South China Morning Post semalam.

Dalam satu kes mahkamah yang didedahkan Pendakwa Raya Daerah Huli, tertuduh yang hanya dikenali sebagai Xu, sedang melayari laman sosial apabila dia melihat satu video dimuat naik oleh mangsa, Yang.

Mangsa yang merupakan bekas rakan sekerjanya, menunjukkan wang dalam jumlah  banyak, menyebabkan tertuduh berasa iri hati.

“Dia suka menunjuk-nunjuk wangnya dan saya tahu dia lebih suka menyimpan wang tunai di rumah daripada menggunakan bank. 

“Saya kekurangan wang pada masa itu, jadi saya fikir mengapa tidak pergi dan mengambil sedikit dari rumahnya?” kata tertuduh.

Bagi mengelakkan dirinya daripada dikenali, dia menyamar sebagai wanita. 

Sambil memakai rambut palsu, skirt pendek, stoking hitam dan aksesori lain, tertuduh memecah masuk ke rumah mangsa menggunakan kunci yang diletakkan di dalam kasut.

Tertuduh berkata, dia pergi melawat mangsa beberapa hari sebelum kejadian.

Selepas menyelongkar rumah mangsa, tertuduh menemukan sebuah kotak hitam di sebelah katil yang mengandungi beberapa timbunan wang tunai.

Dia mencuri wang sebanyak 73,000 yuan dan hanya meninggalkan sekeping wang kertas 5 yuan (RM3).

Tertuduh akhirnya ditangkap selepas mangsa membuat laporan polis, dan dia didapati bersalah kerana memasuki hartanah secara haram serta mencuri.

Dia dijatuhi hukuman penjara dan denda, namun jumlah yang tepat dan tempoh jel tidak dinyatakan. – AGENSI 

Read Entire Article
Pertanian | | | |