ARAU – Peruntukan sebanyak RM15 juta bagi pelaksanaan bank makanan Dapur Siswa oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) diyakini mampu menangani kos sara hidup yang dihadapi mahasiswa masa kini.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Profesor Dr. Mohd. Mustafa Al Bakri Abdullah berkata, pihaknya menyambut baik inisiatif yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
“Ia adalah langkah signifikan dalam memperkukuhkan kebajikan pelajar institusi pendidikan tinggi di seluruh negara selain sebagai pendekatan proaktif kerajaan dalam menangani cabaran kos sara hidup yang dihadapi mahasiswa masa kini.
“Pengumuman inisiatif Dapur Siswa KPT ini amat bertepatan pada masanya dan mencerminkan keprihatinan serius kerajaan terhadap kebajikan pelajar khususnya dalam memastikan keperluan asas seperti makanan sentiasa terjamin,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, UniMAP sememangnya lebih awal melaksanakan inisiatif seiring aspirasi Dapur Siswa KPT menerusi pelaksanaan Food Kitchen UniMAP yang menyediakan bantuan makanan berterusan kepada pelajar memerlukan.
“Sehingga tahun 2025, UniMAP telah berjaya melaksanakan agihan Food Kitchen UniMAP di enam lokasi sekitar kawasan kampus dan kolej kediaman yang memberi manfaat kepada lebih 3,000 pelajar.
“Usaha ini adalah sebahagian daripada komitmen berterusan universiti dalam menjaga kebajikan pelajar,” jelasnya.
Selain bantuan makanan asas, katanya, UniMAP turut melaksanakan program Coffee to Go sempena minggu peperiksaan sebagai sokongan moral kepada pelajar khususnya dalam mengurus tekanan akademik dan kesejahteraan emosi.
“Program Coffee to Go yang memberi manfaat kepada lebih 6,000 pelajar bukan sekadar inisiatif kebajikan tetapi simbol sokongan moral universiti kepada pelajar. Ini bagi memastikan mereka berasa dihargai dan tidak keseorangan ketika berdepan cabaran akademik,” katanya.
Tambahnya, UniMAP pada tahun lalu memperuntukkan lebih RM1.2 juta khusus bagi pelaksanaan pelbagai inisiatif kebajikan dan kesihatan pelajar merangkumi bantuan makanan, sokongan kesihatan fizikal dan mental serta program pembangunan kesejahteraan pelajar secara holistik. – KOSMO! ONLINE

1 day ago
9
















































