Ribut: Ini paling besar, kuat sepanjang saya jadi MB Selangor

5 hours ago 4

SHAH ALAM – Ribut dan puting beliung yang melanda sekitar Sijangkang di Telok Panglima Garang khususnya disifatkan paling terburuk pernah berlaku di Selangor dalam tempoh empat tahun.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ini berikutan insiden berkenaan telah memusnahkan banyak unit bangunan dan rumah di kawasan terbabit.

Katanya, insiden seumpamanya pernah berlaku namun hanya melibatkan di kawasan kampung dan bendang sekitar Sabak Bernam.

“Ribut yang besar dan meruntuhkan unit-unit rumah. Ini antara kejadian terbesar dalam tempoh tiga hingga empat tahun dan paling kuat yang pernah berlaku.

“Saya rasa sepanjang jadi Menteri Besar, ini yang paling kuat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Sagong Tasi Negeri Selangor di sini hari ini.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan ribut dan puting beliung yang melanda sehingga mengakibatkan Kampung Medan, Telok Panglima Garang yang terjejas teruk semalam telah menyebabkan lokaliti itu diisytiharkan bencana tahap 1.

Bencana yang berlaku pukul 4.15 petang itu telah menyebabkan sebanyak 40 buah rumah, lima buah sekolah dan dewan orang ramai rosak teruk.

Amirudin berkata, beliau mendapat laporan bahawa kos pembaikian Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Medan dianggarkan antara RM200,000 hingga RM400,000.

“Tentang kerosakan rumah, kita tengok balik berapa rumah yang terjejas atau terkesan akibat peristiwa sangat menakutkan itu.

“Esok saya akan dapatkan angkanya (jumlah keseluruhan kerugian) dan kenyataan akan dibuat selepas selesai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk menjelaskan langkah-langkah susulan tentang bencana yang berlaku selain influenza dan beberapa kes yang berlaku di sekolah,” katanya.

Jelasnya, Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) telah menyalurkan RM400,000 bagi bantuan bencana melibatkan sekolah setakat ini.

“Bagi mangsa-mangsa, kita sudah ada peruntukkan dibawah Tabung Bencana untuk RM500 satu rumah.

“Namun saya rasanya nilainya lebih. Nanti kita tengok apa sokongan lain diberikan kepada rumah yang terjejas. Sebab kali ini, kesannya sangat buruk,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |