Rakyat Malaysia disyaki dalang penipuan RM651 juta dicekup di Thailand

1 month ago 45

BANGKOK –  Polis memberkas seorang rakyat Malaysia dan isterinya yang memiliki kerakyatan Thai di sebuah pusat pemeriksaan imigresen di sempadan Thailand, lapor portal berita Khaosod semalam.

Divisyen Pembanterasan Jenayah Ekonomi (ECD) Polis Diraja Thailand menahan mereka kerana disyaki terlibat dalam skim pengubahan wang haram besar-besaran dikaitkan dengan operasi ‘Syarikat Hantu’.

Rakyat Malaysia  dikenali sebagai Lim, 38 dan isterinya , Saowalak itu ditahan di pusat pemeriksaan Imigresen Sadao di Samnak Kham, daerah Sadao dalam  wilayah Songkhla semalam. 

Tangkapan dibuat selepas mahkamah jenayah Thailand mengeluarkan waran tangkap terhadap mereka atas tuduhan pengubahan wang haram.

Penangkapan pasangan itu dikaitkan dengan penipuan pelaburan melibatkan aplikasi palsu Nicshare dan ComonApps.

Mangsa-mangsa dipujuk dengan janji pulangan tinggi ke atas pelaburan perdagangan saham dengan penipu-penipu(scammer)  menyamar sebagai personaliti pasaran saham  untuk menyakinkan orang ramai supaya membuat pelaburan. 

Skim penipuan itu dilaporkan menyebabkan kerugian lebih  800 juta baht (RM104 juta) kepada ramai mangsa yang berjaya diperdayakan.

Siasatan polis mendedahkan bahawa operasi itu melibatkan warga Thailand dan rakyat asing. Jumlah wang yang beredar dalam penipuan itu mencecah 5 bilion baht (RM651 juta). 

Justeru, polis Thailand mengeluarkan waran tangkap terhadap lebih 50 suspek yang terlibat dalam penipuan tersebut.

Menurut polis, Lim dan isterinya memainkan peranan penting dalam operasi sindiket itu. Mereka disyaki  menukar wang haram yang diperoleh kepada mata wang digital untuk melindungi sumber pendapatan sindiket  tersebut.

Mereka juga didakwa terlibat dengan rangkaian ‘Syarikat Hantu’ dengan menubuhkan syarikat tersedia untuk mencipta akaun bank palsu demi menyokong operasi perniagaan haram.

Penahanan itu dibuat selepas pihak berkuasa menerima maklumat risikan mengenai rancangan kemasukan Lim ke Thailand melalui pusat pemeriksaan Sadao. 

Saowalak ditahan ketika cuba mengambil suaminya di tempat letak kereta pusat pemeriksaan imigresen itu. – AGENSI

Read Entire Article
Pertanian | | | |