KUALA LUMPUR – Pelakon yang juga pempengaruh terkenal Rafidah Ibrahim dituntut oleh usahawan Datuk Haris Embong dan syarikatnya untuk membayar ganti rugi berjumlah RM281,200 kepadanya dan syarikatnya dalam tempoh tujuh hari.
Bayaran Ganti rugi itu ialah keputusan Mahkamah Tinggi selepas Haris dan syarikatnya berjaya dalam saman mereka berhubung hantaran fitnah yang dibuat Rafidah dalam media sosial empat tahun lalu.
Hantaran fitnah yang dibuat Rafidah itu berkaitan keengganan syarikat yang menjual produk sejuk beku tersebut membayar hasil kerjanya selepas diberhentikan pada Ogos 2021.
Berdasarkan notis yang dihantar oleh firma guaman yang mewakil Haris, Izral Partnership kepada firma guaman terdahulu Rafidah pada 19 September lalu, menyatakan bahawa surat pertama bertarikh 20 Ogos tahun lalu kepada firma guaman mewakili defendan tidak mendapat sebarang maklum balas.
Sehubungan itu, firma guaman plaintif berkata, pihaknya diarahkan oleh anak guam untuk menuntut bayaran RM281,200 iaitu jumlah keseluruhan ganti rugi dan kos mengikut penghakiman Mahkamah Tinggi.
Ia membabitkan ganti rugi sebanyak RM100,000 yang perlu dibayar kepada Haris, ganti rugi sebanyak RM150,000 yang perlu dibayar kepada Arisprop Holdings, kos keseluruhan sebanyak RM30,000 dan yuran peruntukan sebanyak RM1,200.
“Kami telah diarahkan selanjutnya supaya anak guam anda membuat bayaran bagi jumlah yang dinyatakan di atas dalam tempoh tujuh hari dari tarikh surat ini, dan sekiranya gagal, anak guam kami akan mengambil tindakan yang perlu,” kata firma guaman itu.
Sementara itu, Haris dalam satu kenyataan, berkata, pihaknya telah memberi banyak masa kepada Rafidah untuk menyelesaikan tuntutan, namun ianya tidak berlaku sehingga ke hari ini.
“Tuntutan ini adalah untuk membersihkan imej saya dan syarikat atas tuduhan fitnah yang dibuat. Semua orang mempunyai perjuangan menuntut hak dan keadilan. Begitu juga saya. Ini adalah perjuangan menuntut hak dan keadilan untuk saya dan syarikat serta menghormati keputusan Mahkamah Tinggi,” katanya.
Pada 31 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan Rafidah membayar RM250,000 kepada Haris dan syarikatnya.
Hakim Dr. John Lee Kien How@Mohd. Johan Lee memutuskan demikian selepas membenarkan saman yang dikemukakan Haris, 48, dan syarikatnya iaitu Arisprop Holdings Sdn. Bhd. masing-masing selaku plaintif pertama dan kedua.
Dalam penghakimannya ketika membenarkan saman itu, Hakim Mohd. Johan berkata mahkamah mendapati hantaran yang dibuat Rafidah selaku defendan itu adalah satu fitnah.
Penghakiman lanjut turut menyatakan, mahkamah mendapati hantaran tersebut turut membawa maksud syarikat berkenaan telah mengambil kesempatan ke atas defendan dengan enggan membayar hasil kerja beliau.
Mahkamah juga menolak tuntutan balas dikemukakan Rafidah terhadap kedua-dua plaintif untuk menuntut antaranya wang sebanyak RM4,000 bagi gaji tertunggak bulan Ogos 2021, dan kos kemudahan sebanyak RM3,550 yang dipersetujui dalam kontrak pelantikannya.
Justeru berdasarkan alasan-alasan itu, mahkamah membenarkan tuntutan plaintif terhadap defendan dan memerintahkan agar defendan membayar ganti rugi RM100,000, kepada plaintif pertama (Haris) dan RM150,000 terhadap plaintif kedua (Arisprop) selain kos RM30,000 dibayar kepada kedua-dua plaintif.
Pada masa sama, mahkamah turut mengeluarkan perintah injunksi bagi menghalang defendan sama ada melalui diri sendiri, ejen-ejen atau orang lain daripada menerbitkan perkataan fitnah terhadap plantif dalam apa juga sekalipun. – KOSMO! ONLINE