Pukul hingga tersungkur sebab anak ‘hilang’ ketika beli barang

6 hours ago 2

ARAU – Seorang wanita dikatakan memukul anak perempuannya berusia lima tahun sehingga tersungkur dan terhantuk pada bucu bangku setelah menyedari anaknya tiada di sisi ketika mahu membeli barang di sebuah premis di Jejawi, di sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam Ahad lalu, suspek dipercayai naik angin lalu memukul anak sulungnya yang ketika itu berada di hadapan pintu sebuah premis.

Ibu kepada dua anak tersebut dikatakan semakin berang apabila anaknya enggan berganjak lalu memukul belakang tubuh mangsa kira-kira dua kali.

Kanak-kanak terbabit dilihat tersungkur dan terhantuk pada bucu bangku di kaki lima sebuah pasar raya.

Difahamkan, mangsa yang cedera pada kening sebelah kanan seterusnya dibawa mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar dekat sini dan menerima kira-kira empat jahitan.

Difahamkan, urusan penjagaan mangsa buat masa ini masih dalam perbincangan memandangkan kanak-kanak terbabit mempunyai ahli keluarga lain iaitu bapa yang juga pekerja kantin serta datuk dan neneknya.

Sementara itu, rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) berdurasi 47 saat yang memaparkan kejadian turut tular di media sosial dan aplikasi WhatsApp sejak semalam dengan perbuatan suspek dikecam netizen.

Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan seorang pekerja kantin yang disyaki memukul anak perempuannya berusia lima tahun sehingga cedera direman selama enam hari bermula hari ini.

Perintah tahanan reman ke atas wanita berusia 38 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Ana Rozana Mohd Nor.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, suspek yang bekerja sebagai pekerja kantin itu ditahan di bilik sewanya di Jejawi kira-kira pukul 11.30 malam tadi.

“Mangsa merupakan anak perempuan suspek berusia lima tahun dan dia didapati mengalami luka berjahit di bahagian kening sebelah kanan,” katanya.

Katanya, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |