PETALING JAYA – Puisi ‘Ku Cari Damai Abadi’ nukilan Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi kembali tular di media sosial.
Ia dikongsikan oleh rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan latar belakang yang menyanjungi Tun Abdullah sebagai tokoh negara disegani.
Setiap bait puisi berkenaan dihayati dan ada yang menterjemahkan maksudnya, membuatkan orang ramai tersentuh.
Menerusi perkongsian seorang penulis, Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan, puisi itu menjadi simbolik serta mencerminkan aspirasi untuk mencari makna kehidupan sebenar, bukan melalui harta, wang, atau kehidupan fana, tetapi melalui hubungan dengan Tuhan dan pencarian ketenangan rohani.
“Setiap baris mengajak pendengar atau pembacanya untuk merenung kembali apa yang paling penting dalam kehidupan, yakni mencari dan menikmati damai kekal melalui iman serta penghayatan kepada petunjuk suci.
“Ia telah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa dan terus memberi inspirasi kepada ramai, menunjukkan betapa mendalamnya falsafah yang diungkapkan oleh Pak Lah dalam usahanya mengajak masyarakat untuk memandang kehidupan dengan perspektif yang lebih holistik dan bermakna,” katanya di Facebook.
Seorang lagi pengguna, Fakhri, berkata, beliau juga akan mengenang Tun Abdullah sebagai seorang penulis dan pemikir.
“Puisi beliau, ‘Ku Cari Damai Abadi’ adalah prinsip dan falsafah hidup beliau (Tun Abdulla), dinyanyikan oleh Datuk Ramli Sarip.
“Sahabat-sahabat, ambil masa malam ini dan hayati bait-bait puisi yang beliau tinggalkan buat kita ini,” ujarnya.
Ku Cari Damai Abadi
Aku cari bukan harta bertimbun-timbun,
Untuk hidup kaya,
Aku cari bukan wang berjuta-juta,
Untuk hidup bergaya,
Aku cari bukan kawan-kawan,
Untuk hidup sekadar berfoya-foya,
Aku cari mana dia Al-Ghazali,
Aku cari mana dia Al-Shafie,
Kita bongkar rahsia kitab suci,
Cari pedoman
Kita bongkar rahsia sunnah nabi,
Cari panduan
Aku hidup kerana Dia Rabbi,
Dialah teman,
Dialah wali,
Dia mencukupi,
Aku hidup bererti,
Menikmati damai abadi.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, penyanyi legenda, Ramli turut hadir bagi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Tun Abdullah di Masjid Negara, hari ini.
Menurut Ramli, pengalaman beliau menyanyikan puisi ‘Ku Cari Damai Abadi’ nukilan Perdana Menteri Kelima itu sentiasa terpahat dalam dirinya sebagai satu kenangan yang manis. – KOSMO! ONLINE