
- Oleh IVAN AMIRUL
- 16 Oktober 2025, 6:11 pm
KOTA KINABALU – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membelanjakan sebanyak RM116.8 juta bagi melaksanakan urusan Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah yang dijadual pada 29 November ini.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, jumlah itu termasuk untuk pelantikan seramai 33,002 petugas pilihan raya bagi melicinkan perjalanan pilihan raya.
Katanya, seramai 25 Pegawai Pengurus Pilihan Raya (RO) dan 196 Penolong RO dilantik bagi mengendalikan proses pilihan raya itu di semua 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Menurutnya, tempoh kempen selama 14 hari bermula pada 15 November 2025 hingga pukul 11.59 malam, 28 November 2025, manakala sebanyak 25 pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi akan digunakan.
“Keseluruhan jumlah pusat mengundi adalah sebanyak 940 dengan 3,645 tempat mengundi atau saluran,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat khas SPR berhubung PRN17 Sabah di Auditorium Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah semalam. – KOSMO! ONLINE