TAPAH – Parti Cinta Malaysia (PCM) Negeri Perak menyeru pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning untuk mengundi calon Barisan Nasional (BN).
Pengerusinya, Alvin Phang berkata, seruan untuk memberikan sokongan padu dan tidak berbelah bahagi kepada Dr. Mohamad Yusri Bakir, 54, itu terutamanya adalah bagi pengundi bukan Melayu.
“Sebagai sebuah parti dalam gabungan Friends of Barisan Nasional, Parti Cinta Malaysia berdiri teguh menyokong kenyataan Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
“Bahawa PRK ini merupakan peluang terbaik untuk rakyat Ayer Kuning memilih calon yang benar-benar mampu membawa suara perpaduan, kestabilan politik, dan pembangunan yang inklusif,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Alvin berkata, mereka percaya bahawa kestabilan dan kemajuan Perak hanya dapat dicapai melalui kerjasama erat antara kaum, kesepakatan politik yang matang serta wakil rakyat yang memahami denyut nadi semua lapisan masyarakat.
“Dr. Mohamad Yusri adalah seorang tokoh yang berwibawa, berpengalaman, dan sentiasa mengutamakan keharmonian serta pembangunan menyeluruh untuk semua kaum tanpa mengira latar belakang.
“Kami yakin beliau mampu membawa suara rakyat Ayer Kuning dengan berani dan bijaksana dalam Dewan Undangan Negeri,” katanya.
Beliau turut mengajak semua pihak untuk menjalankan kempen secara sihat, beradab, dan berteraskan fakta.
“Jangan biarkan sentimen perkauman atau politik sempit memecah-belahkan perpaduan yang kita telah bina sekian lama.
“Undilah calon yang membawa harapan dan perpaduan, bukanlah kebencian dan perpecahan. Undilah calon Barisan Nasional, undilah Dr. Mohamad Yusri Bakir,” katanya. – KOSMO! ONLINE