PPTM 2025-2035 bakal dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat

3 weeks ago 14

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam proses akhir bagi memuktamadkan dokumen Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPTM) 2025-2035 dan ia bakal dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, dokumen PPTM adalah bagi menggantikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) atau PPPM(PT) 2015-2025 yang akan tamat tahun ini.

Katanya, pembangunan pelan yang baharu itu adalah penting kerana dunia pendidikan tinggi ketika ini sentiasa berubah dengan pesat, terutamanya melibatkan konteks globalisasi dan perkembangan teknologi.

“Pembangunan PPTM dimulakan pada Mei 2024 dan didukung oleh 40 orang ahli Kumpulan Pakar yang berpengalaman daripada pelbagai bidang di dalam dan luar ekosistem pendidikan tinggi,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Kesavan Subramaniam (PH-Sungai Siput) yang meminta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan pendekatan yang digunakan oleh kementerian dalam membangunkan PPTM 2026-2035, terutamanya untuk pembangunan modal insan serta peningkatan daya saing.

Tambah Zambry, kemajuan pembangunan PPTM juga dipantau oleh dua jawatankuasa utama iaitu Jawatankuasa Penasihat yang dipengerusikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi dan Jawatankuasa Pemandu dipengerusikan oleh Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi.

Jelasnya, sepanjang tempoh penggubalan PPTM, pelbagai gerak kerja termasuk sesi libat urus dan proses pengumpulan data bersama pemegang taruh dilaksanakan dengan sewajarnya.

“Sesi libat urus ini dilaksanakan melalui dua pendekatan iaitu pra pembangunan pelan untuk mendapatkan input awal dan pasca pembangunan pelan bagi membuat pengesahsahih terhadap draf pelan yang telah dibangunkan.

“Semua sesi ini dilaksanakan melalui pelbagai kaedah seperti mesyuarat, perbincangan kumpulan fokus, bengkel, seminar dan soal selidik,” katanya.

Menurut Zambry, sehingga 31 Disember 2024, KPT melaksanakan 35 sesi libat urus membabitkan lebih 6,410 pemegang taruh daripada pelbagai kelompok dalam dan luar ekosistem pendidikan tinggi.

“Lebih 1,816 orang telah memberikan maklum balas melalui tinjauan nasional yang dilaksanakan, sekaligus menjadikan 8,226 orang pemegang taruh dilibatkan dalam pembangunan PPTM.

“Objektif utamanya adalah untuk mengenal pasti isu dan cabaran daripada pelbagai perspektif dalam pendidikan tinggi,” katanya.

Ujarnya, sesi libat urus PPTM dijalankan secara menyeluruh dengan membabitkan semua pemegang taruh ekosistem pendidikan tinggi.

“Ia termasuk kementerian, kerajaan negeri, agensi kerajaan, kakitangan akademik dan bukan akademik, persatuan akademik, pelajar, majlis perwakilan pelajar, pengurusan institusi pendidikan tinggi, badan profesional, syarikat berkaitan kerajaan, yayasan, perusahaan kecil dan sederhana, persatuan industri, alumni dan badan bukan kerajaan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |