Plus rintis sistem pembayaran tol terbuka ANPR pertama negara

17 hours ago 7

PETALING JAYA – Pengguna Lebuh Raya Utara-Selatan kini menikmati konsep kebebasan lorong menerusi pelaksanaan sistem pembayaran tol terbuka berasaskan Pengecaman Nombor Plat Automatik (ANPR), susulan pengenalan projek rintis oleh Plus Malaysia Berhad di jajaran Hutan Kampung–Sungai Dua.

Plus dalam kenyataan berkata, inisiatif berkenaan merupakan pencapaian penting serta langkah awal ke arah pelaksanaan sistem Multi Lane Free Flow (MLFF) di lebuh raya Malaysia.

“Pelaksanaan projek rintis ini memberi pengguna pengalaman pemanduan yang lebih lancar menerusi konsep kebebasan lorong, di samping menyokong aspirasi transformasi digital sistem kutipan tol negara,” kata kenyataan itu hari ini.

Plus berkata, menerusi projek rintis berkenaan, pengguna berdaftar tidak lagi terikat kepada lorong khas tertentu, sebaliknya bebas memasuki dan keluar melalui mana-mana lorong tol di sembilan plaza tol melibatkan Hutan Kampung, Alor Setar Utara, Alor Setar Selatan, Pendang, Gurun, Sungai Petani Utara, Sungai Petani Selatan, Bertam dan Sungai Dua.

Katanya, fasa pertama yang meliputi jarak keseluruhan 87.7 kilometer itu dijangka dapat melancarkan aliran trafik di plaza tol serta mengurangkan risiko pertukaran lorong pada saat akhir.

“Kamera ANPR yang dipasang di setiap plaza tol akan mengesan nombor plat kenderaan bagi membolehkan caj tol diproses secara automatik melalui platform pembayaran mudah alih yang dipautkan kepada kaedah pembayaran pilihan pengguna.

“Sistem ini disokong teknologi kecerdasan buatan dan pembelajaran mesin yang membolehkan pengesanan kenderaan dilakukan dengan lebih tepat dalam pelbagai keadaan, termasuk cuaca, kelajuan dan sudut pandangan,” katanya.

Tambah Plus, untuk menggunakan sistem berkenaan, pengguna hanya perlu memuat turun aplikasi JustGo Malaysia, mendaftarkan kenderaan, menghubungkan kaedah pembayaran seperti kad debit atau kredit dan memandu seperti biasa tanpa memerlukan sebarang peranti tambahan serta tanpa kos pendahuluan.

“Kaedah pembayaran tol sedia ada seperti Touch ‘n Go, Smart Tag dan RFID kekal boleh digunakan seperti biasa,” katanya.

Sehubungan itu, Plus menjemput pengguna lebuh raya di laluan Hutan Kampung hingga Sungai Dua untuk mencuba sistem berkenaan dan menikmati kemudahan kebebasan lorong, e-invois serta pilihan pembayaran menggunakan kad debit dan kredit tanpa kos pendaftaran tambahan.

Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan melayari justgo.com.my atau menghubungi e-mel [email protected]. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |