Pesara rugi RM70,000 lepas jumpa ‘polis’

3 hours ago 2

KUALA LUMPUR – Seorang pesara kerugian RM70,000 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan dalam talian atau ‘phone scam’ secara bersemuka setelah didatangai seorang individu yang menyamar sebagai pegawai polis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pada 15 Januari lalu, mangsa merupakan wanita berusia 61 tahun itu dihubungi suspek mendakwa nombor telefon mangsa didaftarkan atas satu akaun Shopee yang menjual produk kecantikan tidak berdaftar.

Beliau berkata, panggilan wanita itu kemudiannya disambungkan kepada pihak ‘polis’ yang mendakwa mangsa mempunyai rekod jenayah serta terlibat aktiviti haram dan kesemua akaun pengadu akan dibekukan.

“Bagi mengelakkan wang mangsa dari dibekukan, mangsa dicadangkan untuk memindahkan semua wangnya ke akaun bank yang diberikan oleh sindiket.

“Keesokan harinya (16 Januari 2025), suspek yang memakai pelitup muka telah datang ke rumah pengadu dan memperkenalkan diri sebagai Inspektor Akmal dan meminta mangsa menyerahkan kad ATM Bank Islam bagi tujuan memindahkan wang dari akaun tersebut ke akaun bank yang selamat,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat JSJK, Menara KPJ di sini, hari ini.

Menurut Ramli, kemudiaanya suspek telah kembali ke rumah mangsa pada 18 Januari dan memulangkan kad ATM Bank Islam dan meminta mangsa untuk menyerahkan kad Maybank miliknya pula untuk tujuan yang sama.

“Pada 20 Januari lepas, mangsa telah dihubungi dan diminta untuk memindahkan kesemua wang dari akaun Amanah Saham Berhad (ASB) miliknya ke akaun Maybank miliknya.

“Namun mangsa mula curiga dan bercerita perkara tersebut kepada keluarganya yang kemudian menyedarkannya bahawa beliau telah ditipu,” katanya.

Beliau berkata laporan diterima di Kota Kinabalu, Sabah pada 21 Januari 2025 dan siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan sedang dijalankan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |