RANTAU PANJANG – Kerja-kerja meroboh sebanyak 216 jeti haram di atas tanah kerajaan di sempadan Malaysia-Thailand sepanjang Sungai Golok dekat sini bagi mengekang aktiviti penyeludupan dijangka selesai pada Mac ini.
Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kelantan, Datuk Mohd. A. Aruwan Ab. Aziz berkata, setakat ini, sebanyak 25 pangkalan haram melibatkan jeti berstruktur sudah dirobohkan sejak pelaksanaan operasi tersebut yang bermula pada 28 Oktober lalu.
Menurutnya, operasi perobohan bagaimanapun terpaksa ditangguhkan pada hujung Disember lalu berikutan banjir.
“Kita jangka operasi itu akan selesai pada Mac ini. Terdapat 96 pangkalan haram yang berstruktur manakala selebihnya merupakan jeti tidak berstruktur.
“Kerja-kerja perobohan dijalankan di jeti berstruktur di tanah milik kerajaan. Buat masa ini, jeti haram yang dibina di atas tanah persendirian masih belum dirobohkan,” katanya ketika ditemui pemberita semasa melawat Pos Pasukan Gerakan Am (PGA) Pak Teh Kana di Kampung Tersang di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. A. Aruwan memberitahu, kerja-kerja perobohan pangkalan haram di Sungai Golok itu melibatkan kerjasama dengan pelbagai agensi daripada peringkat Persekutuan dan negeri.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, kerja-kerja meroboh jeti haram di sepanjang Sungai Golok bagi mengekang aktiviti penyeludupan bermula 28 Oktober lalu dengan pangkalan haram Gergaji dan MCA di sini menjadi perintis.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, operasi dijangka mengambil masa selama dua bulan melibatkan 223 pangkalan haram dari Pengkalan Kubor hingga Jeli.
“Sebanyak 216 pangkalan haram didirikan atas tanah kerajaan, manakala tujuh lagi atas tanah milik persendirian. Perkara (perobohan) ini sudah hampir setahun saya maklumkan dan masyarakat mulai faham tujuan tindakan ini dijalankan.
“Justeru, semua penduduk perlu memberi kerjasama sepanjang pelaksanaan operasi tersebut,” katanya. – KOSMO! ONLINE

6 days ago
12















































