PETALING JAYA – Public Health Malaysia (PHM) mengingatkan jemaah supaya lebih bertanggungjawab terhadap kesihatan orang sekeliling ketika hadir ke masjid, khususnya pada solat Jumaat dan tidak menjadikan ibadah sebagai punca penularan penyakit berjangkit.
Menurut perkongsian PHM di Facebook, situasi bersin dan batuk tanpa kawalan dalam masjid disifatkan sebagai perkara yang kerap berlaku, malah ada kalanya bunyi batuk lebih kuat daripada suara imam membaca khutbah.
“Bukan seorang, tetapi bersahut-sahutan. Sana batuk, sini bersin. Masalahnya, sudah batuk tak berhenti, pelitup muka pula tidak dipakai, mulut tidak ditutup dan droplet disembur bebas ke udara,” kata PHM.
Poster perkongsian PHM di Facebook.PHM menjelaskan, dalam ruang tertutup dan berhawa dingin seperti masjid, kuman boleh tersebar dengan lebih efisien dan cepat sekali gus meningkatkan risiko jangkitan kepada jemaah lain.
Tambahnya, kes tuberkulosis (Tibi) di Malaysia masih wujud dan individu yang mengalami batuk berkahak atau berdarah melebihi dua minggu berisiko menjadi penyebar penyakit tanpa disedari.
Selain itu, PHM mengingatkan orang ramai bahawa penyakit seperti influenza dan Covid-19 juga masih belum lenyap sepenuhnya.
“Sekali bersin, beribu partikel virus boleh terbang sejauh satu hingga dua meter. Jemaah di sebelah, terutama warga emas dan kanak-kanak yang mempunyai imuniti rendah, menjadi mangsa paling mudah,” katanya.
Sehubungan itu, PHM menggariskan beberapa langkah pencegahan yang perlu diamalkan jemaah, terutamanya mereka yang sedang mengalami batuk atau selesema.
Antaranya, jemaah diwajibkan memakai pelitup mulut kerana sekeping ‘mask’ mampu melindungi satu saf daripada jangkitan.
Selain itu, PHM berkata, etika batuk juga perlu dipatuhi dengan menghala ke arah siku atau menggunakan tisu dan bukan secara terus pada tapak tangan kerana jemaah lazimnya akan bersalaman selepas solat.
“Kepada yang sihat, bawalah mask (pelitup mulut) tambahan dalam poket. Kalau jemaah sebelah ‘buat hal’, hulurkan sahaja kepada dia. Dapat pahala sedekah Jumaat,” pesan PHM. – KOSMO! ONLINE

16 hours ago
5

















































