TAMPIN – Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Gemencheh, di sini, ditutup selama 20 hari bermula Isnin lalu hingga 26 Oktober ini berikutan penularan kes influenza A.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Tampin, Fadhil Hassan berkata, wabak berlaku di MRSM berkenaan pada Jumaat lalu membabitkan lapan orang pelajar berusia 13 hingga 15 tahun dikesan positif influenza A dengan gejala demam, batuk serta sakit tekak.
“Pada 2 Oktober lalu, Unit Kawalan Penyakit Berjangkit (CDC) Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Daerah Tampin telah menerima empat notifikasi penyakit Influenza A melalui sistem e-Borang Notifikasi PKD Tampin melibatkan beberapa klinik swasta di daerah Tampin.
“Verifikasi kes bersama pihak sekolah mendapati ada tambahan empat orang pelajar yang telah dirawat sebagai Influenza A daripada klinik swasta yang lain, menjadikan keseluruhan sebanyak lapan kes Influenza A dikesan di kalangan pelajar.
“Jumlah individu yang terdedah kepada influenza ini adalah seramai 755 orang dengan Kadar serangan 1.1 peratus. Bagaimanapun, pihak Pejabat Kesihatan Daerah telah mengambil tindakan proaktif termasuk membuat disinfeksi diseluruh sekolah,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Ujar Fadhil lagi, kesemua pelajar tingkatan satu hingga empat telah diarahkan pulang pada Isnin lalu dan hanya tinggal pelajar tingkatan lima sahaja namun secara keseluruhannya kes masih terkawal di daerah ini.
“Pelajar tingkatan lima bergejala dibenarkan tinggal secara isolasi, manakala disahkan positif di arahkan untuk pulang. Setakat hari ini, tiada laporan kes-kes baru diterima di seluruh Tampin,” tambahnya.
Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan lonjakan mendadak sebanyak 97 kluster influenza direkodkan pada Minggu Epidemiologi (ME) 40/2025, berbanding hanya 14 kluster pada minggu sebelumnya. – KOSMO! ONLINE