Penjual belon masih di hospital, kita tunggu x-ray – Peguam

3 days ago 7

PETALING JAYA – Penjawat awam perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam menjalankan tugas apatah lagi apabila berdepan situasi yang boleh mencetuskan insiden tidak diingini.

Perkara itu dibangkitkan peguam Mahmud Jumaat dalam satu hantaran di Facebook susulan kejadian melibatkan seorang penjaja belon dan sekumpulan anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) malam, semalam.

Menurut Mahmud, difahamkan penjaja belon tersebut kini sedang menerima rawatan di Hospital Serdang dan hasil pemeriksaan sinar-X menunjukkan kemungkinan kecederaan patah tulang akibat tindakan agresif pihak penguat kuasa.

“Mengapa tak buat laporan Polis? Penjaja belon sedang dirawat di hospital Serdang.

“Menurut ibu beliau, penjaja mungkin mengalami kecederaan patah tulang selepas buat Xray (sinar-X). Tadi Dr. sudah buat Xray, Dr. nampak macam ada patahlah,” katanya dalam hantaran itu.

Ujarnya, jika betul berlaku patah pada anggota badan perkara berkenaan boleh membawa kepada tuduhan serius di mahkamah.

“Ini kes sudah menyebabkan kecerderaan parah dekat penjaja atas kesalahan dengan bertindak agresif tolak (penguatkuasa) lepas (penjual) jual belon tanpa lesen,” katanya.

Jelasnya, jika disabit kesalahan perkara berkenaan boleh dituduh di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

“Ingat penjawat awan tidak kalis undang-undang!,” tegasnya.

Terdahulu Kosmo! melaporkan, DBKL memaklumkan peniaga belon itu sudah diberi teguran kali ketiga untuk beredar sebelum bertindak agresif dan menolak anggota penguat kuasa DBKL.

DBKL dalam kenyataan berkata, sebelum kejadian kira-kira pukul 11.50 malam itu berlaku, anggota penguat kuasa DBKL yang melakukan rondaan berkala melihat kehadiran beberapa penjaja tanpa lesen menjalankan aktiviti perniagaan di laluan pejalan kaki Jalan TAR.

Katanya, anggota penguat kuasa DBKL telah memberi teguran dan kebanyakan penjaja tanpa lesen memberikan kerjasama dengan beredar dari kawasan tersebut, namun ia tidak berlaku kepada peniaga belon berkenaan.

Susulan itu, satu laporan polis telah dibuat oleh penguat kuasa terlibat dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 11.50 malam semalam. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |